fbpx

Ceramah agama tanpa tauliah boleh dijel sehingga 2 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bangunan MAIS.

SHAH ALAM – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memaklumkan denda yang tinggi dan hukuman penjara menanti pihak yang memberi ceramah tanpa tauliah.

Menurut MAIS, peringatan tersebut sejajar dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang tidak berkenan masjid dan surau dijadikan medan berpolitik.

“Aktivis dan pemimpin politik yang mengajar kuliah agama Islam tanpa tauliah di masjid dan surau di negeri Selangor, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya berdasarkan Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 dibawah Seksyen 119 (1),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Yusof dilaporkan berkata, tauliah mengajar agama Islam yang diberikan kepada aktivis politik di Selangor ditarik balik berkuat kuasa 31 Disember tahun lalu.

Perkara itu diputuskan MAIS yang menjunjung titah Sultan Sharafuddin Idris Shah agar Islam tidak dipolitikkan dan menjadi bahan politik oleh mana-mana pihak, terutama di masjid dan surau.

Baru-baru ini, sekumpulan ahli kariah Masjid Nurul Iman Rawang menghantar memorandum bantahan kepada Sultan Selangor berhubung isu aktivis politik yang menyampaikan tazkirah Ramadan tanpa tauliah.

Menurut ahli-ahli kariah itu, tindakan aktivis tersebut menyampaikan tazkirah selepas solat Isyak pada 5 April lalu di Masjid Nurul Iman Rawang jelas melanggar titah baginda dan arahan khusus MAIS. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI