PUTRAJAYA – Kerajaan Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan biadab tentera rejim Israel yang menyerang umat Islam di Masjid Al-Aqsa awal pagi semalam.
Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, perbuatan keji tentera Zionis itu menceroboh Al-Quds ketika berlangsungnya solat Subuh juga amat dikutuk keras.
“Perlakuan tidak berperikemanusiaan itu adalah amat dikesali dan tidak sepatutnya berlaku lebih-lebih lagi pada hari Jumaat yang mulia dalam bulan Ramadan,” katannya menerusi satu kenyataan hari ini.
Sekurang-kurangnya 115 rakyat Palestin cedera dalam insiden tersebut apabila askar rejim menceroboh masuk dan menembak jemaah di laman masjid ketiga paling suci bagi umat Islam itu.
Tentera Israel turut bertindak menghalang ambulans daripada Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin menghampiri kawasan masjid bagi merawat mangsa yang cedera terperangkap di sana.
Mengulas lanjut, Saifuddin menyifatkan tindakan kurang ajar pasukan rejim menyasarkan jemaah yang lemah ketika umat Islam berpuasa itu sebagai kejam dan tidak boleh diterima.
“Malaysia akan terus konsisten dalam memperjuangkan nasib dan kebajikan rakyat Palestin,” tegasnya merujuk kepada usaha negara itu untuk diiktiraf sebagai wilayah yang berdaulat dan merdeka.
Dalam pada itu, Kementerian Luar Arab Saudi turut mengutuk serangan tersebut dan menggesa komuniti antarabangsa tidak bersikap dwistandard terhadap keganasan Israel di Palestin. -KOSMO! ONLINE