fbpx

Rakyat Malaysia ‘bebas’ balik kampung beraya – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri (kiri) ketika menyampaikan sumbangan kepada golongan memerlukan bagi Parlimen Bera di Masjid al-Muttaqin Mengkarak, Bera hari ini.

BERA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan bahawa semua rakyat negara ini ‘bebas’ untuk pulang ke kampung bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri pada bulan hadapan.

Tegas beliau, tiada lagi sekatan pulang ke kampung kali ini selepas dua tahun pergerakan pulang berhari raya disekat akibat pandemik Covid-19.

“Kalau kata betul atau tidak, memang betul boleh balik kampung, kita memberi kebebasan balik kampung pada tahun ini seperti biasa.

“Cuma walaupun mulai 1 April kawalan kendiri tidak lagi diwajibkan tetapi pelitup muka masih diwajibkan. Masing-masing diharap membuat kawalan kendiri bagi menjaga keselamatan diri dan orang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan kepada golongan memerlukan bagi Parlimen Bera di Masjid al-Muttaqin Mengkarak di sini hari ini.

Menurut Ismail Sabri, dengan kebenaran itu, orang ramai dapat mengambil peluang untuk menyambut hari raya bersama keluarga selepas lebih dua tahun tidak dapat berbuat demikian akibat penularan Covid-19.

Tambah beliau, bagi memberi peluang orang ramai beraya bersama keluarga pada hari raya pertama, Rumah Terbuka Perdana Menteri di Sri Perdana tahun ini tidak diadakan pada hari raya pertama dan diubah kepada 8 Mei.

“Jadi balik kampung beraya dengan keluarga, sambutan malam raya itu memang ditunggu-tunggu. Buat lemang dan ketupat, rendang, kacau dodol, jadi balik dahulu dan datang semula ke Kuala Lumpur pada Ahad untuk Rumah Terbuka Aidilfitri di Sri Perdana,” katanya.

Mengulas mengenai program sumbangan sempena Aidilfitri di Parlimen Bera, beliau berkata, kira-kira 4,800 orang menerima sumbangan tunai sebagai persediaan menyambut hari raya.

Ujarnya, sumbangan daripada Yayasan Petronas itu diharap dapat membantu meringankan beban mereka untuk menyambut Aidilfitri tidak lama lagi. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI