PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada pagi ini melaporkan tinjauan cuaca semasa menunjukkan hujan sedang berlaku di satu dua tempat melibatkan kawasan di sekitar pesisir pantai di Johor termasuklah di sekitar kawasan perkapalan Selat Melaka.
Katanya, MetMalaysia menjangkakan keadaan hujan itu akan beransur pulih menjelang lewat pagi nanti.
Manakala bagi lain-lain kawasan di semenanjung Malaysia keadaan cuaca adalah baik dan sedikit mendung pada pagi ini.
“Carta angin semasa menunjukkan angin masih lagi bertiup daripada pelbagai hala dengan kelajuan sekitar 20 hingga ke 30 kilometer sejam.
“Oleh yang demikian, keadaan ini adalah amat sesuai untuk aktiviti menangkap ikan, bot-bot kecil serta perkapalan dan aktiviti sukan laut,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, bagi tinjauan cuaca semasa di Sabah dan Sarawak pula, keadaan cuaca di hampir kesemua bahagian di sana juga berada dalam keadaan baik kecuali di sekitar bahagian Mukah dan juga di Wilayah Persekutuan Labuan yang mana keadaan yang sedang hujan berlaku di kawasan-kawasan berkenaan.
“Keadaan ini dijangka akan beransur pulih menjelang lewat pagi nanti.
“Pada sebelah petang pula, MetMalaysia menjangkakan hujan lebat di satu dua tempat masih lagi berpotensi untuk berlaku yang mana keadaan tersebut dijangka lebih tertumpu di bahagian pedalaman dan Pantai Timur semenanjung termasuklah di sekitar bahagian Sandakan dan Tawau, Sabah juga di bahagian pedalaman negeri Sarawak,” ujarnya.
Oleh yang demikian dinasihat kepada penduduk di kawasan yang terlibat agar sentiasa berwaspada dan mendapatkan informasi cuaca yang terkini dari semasa ke semasa. – KOSMO! ONLINE