JAKARTA – Indonesia masih meneliti permintaan untuk menjemput Ukraine hadir ke Sidang Kemuncak negara-negara Kumpulan 20 (G20) yang akan diadakan di Nusa Dua, Pulau Bali pada November ini, lapor laman berita Kompaskelmarin.
Ini susulan kenyataan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden yang meminta Indonesia untuk turut menjemput Ukraine jika Rusia memutuskan untuk hadir di forum G20.
Bagi tujuan itu, Menteri Luar Negeri Indonesia, Retno Marsudi dan kakitangannya sedang berbincang dengan pelbagai kumpulan berkaitan perkembangan keadaan geopolitik global dan kesannya terhadap pelaksanaan G20 di Indonesia.
“Isu ini masih dalam perbincangan dan lebih banyak perbincangan akan diadakan dengan pelbagai kumpulan, dasar luar negara agar ia lebih menyeluruh apabila Indonesia akhirnya membuat keputusan mengenainya,” kata Jurucakap Kementerian Luar Indonesia, Teuku Faizasyah.
Indonesia sebelum ini mengadakan rundingan dengan semua anggota G20 untuk memetakan pandangan setiap negara berhubung perkembangan konflik semasa antara Rusia dan Ukraine.
Sementara itu, Retno akan mengadakan rundingan pusingan kedua dengan beberapa negara Eropah berhubung pelaksanaan Sidang Kemuncak G20 semasa lawatan ke rantau itu minggu depan.
Ketua Biro Sokongan Kepimpinan Strategik (BDSP) Kementerian Luar Negeri, Achmad Rizal Purnama Rizal mendedahkan Retno akan berkomunikasi dengan Menteri Luar Kesatuan Eropah, Menteri Luar Jerman dan Menteri Luar Itali. – Agensi