CANBERRA, Australia – Penyelidik-penyelidik di Australia mencadangkan agar sperma beruang koala dibekukan bagi melindungi spesies itu daripada kepupusan, lapor laman berita Wionews, semalam.
Sebuah makmal biologi sperma boleh dibina untuk memastikan kemandirian spesies marsupial yang terancam seperti koala, tulis laporan cadangan tersebut.
“Buat masa ini, kami tidak mempunyai polisi insurans terhadap bencana alam seperti kebakaran belukar 2019 hingga 2020 yang mengancam kepupusan sejumlah besar haiwan dalam sesuatu masa.
“Jika populasi koala mati dalam kejadian kebakaran seperti ini, tidak ada cara untuk menghidupkan atau memulihara genetik haiwan ini,” kata saintis konservasi, Dr. Ryan Witt.
Sementara itu, Dr. Lachlan Howell dari Universiti Newcastle berkata, penggunaan sperma beku membolehkan pengenalan semula variasi genetik ke dalam populasi koala liar tanpa perlu memindahkan koala.
“Kami telah mengenal pasti 16 hospital hidupan liar dan zoo di seluruh Australia yang boleh bertindak sebagai nod untuk mengumpul sperma koala,” kata Howell.
Sperma itu kemudian boleh digunakan dalam program pembiakan untuk membawa kepada lonjakan dalam populasi spesies itu.
Tambah Witt, cadangan tersebut adalah cara paling efektif dari segi pembiayaan kos untuk memulihara kepelbagaian genetik koala. – Agensi