BANGKOK – Pelancong di Thailand dilarang menyimbah air di kawasan tumpuan percutian popular ketika perayaan Songkran, manakala mereka yang ingkar berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun, lapor akhbar The Sun kelmarin.
Aktiviti menyimbah air menjadi tradisi pesta Songkran yang diadakan setiap tahun di Thailand. Pada tahun ini, pesta air itu berlangsung dari 13 hingga 15 April.
Bagaimanapun, Thailand masih mengenakan peraturan Covid-19 yang ketat termasuk pemakaian pelitup muka diwajibkan di kebanyakan kawasan awam.
Aktiviti bekenaan dilarang kerana pelancong berkemungkinan tidak memakai pelitup muka ketika menyimbah air antara satu sama lain.
Perdana Menteri, Prayut Chan-o-Cha turut menyuarakan kebimbangan mengenai aktiviti tersebut dan meminta pihak berwajib untuk mengawasi kawasan tumpuan pelancong bagi mengingatkan pengunjung tentang larangan menyimbah air.
Mana-mana individu yang melanggar peraturan kesihatan awam itu boleh didenda maksimum 40,000 baht (RM5,028) atau berdepan hukuman penjara dua tahun.
Dalam sesetengah kes, pesalah mungkin akan didenda dan dipenjarakan sekali gus kerana dekri kecemasan anti Covid-19. Selain itu, pesalah juga boleh dikenakan denda tambahan 20,000 baht (RM2,514) di bawah Akta Kawalan Penyakit Berjangkit.
Namun begitu, beberapa elemen dalam perayaan Songkran masih boleh diteruskan di bawah protokol keselamatan yang ketat. Pesta buih dan penjualan atau pengambilan alkohol tidak dibenarkan jika melibatkan acara besar-besaran.
Pegawai-pegawai kerajaan telah dikerah untuk melawat kawasan tumpuan pelancong seperti Phuket untuk menyebarkan mesej sekatan keselamatan yang dilaksanakan. – Agensi