IPOH – Isu peniaga ‘Rambo’ iaitu istilah kepada penjaja tiada permit yang berniaga berdekatan tapak bazar Ramadan menimbulkan rungutan peniaga lain.
Tanpa membayar tapak niaga, kelompok peniaga Rambo ini juga tidak perlu mengikut syarat-syarat ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti yang dikenakan terhadap peniaga sah.
Mereka ini terdiri daripada peniaga sedia ada di sesebuah lokasi atau peniaga bidan terjun yang membuka gerai hanya semasa Ramadan.
Pengerusi Persatuan Penjaja-penjaja dan Peniaga-peniaga Kecil Melayu (PPPKM) negeri Perak cawangan Daerah Kinta, Zahari Abd. Murad berkata, perkara ini dilihat tidak adil kepada peniaga-peniaga di bazar Ramadan.
“Menerusi pemerhatian, sesetengah tempat peniaga Rambo ini tak maju sebab kurang pelanggan.
“Sepatutnya mereka ambil kesempatan untuk berniaga di mana-mana tapak bazar Ramadan yang ada di bandar ini kerana lazimnya bazar Ramadan memang tumpuan orang ramai,” ujarnya kepada Kosmo! semalam.
Jelasnya, PBT sepatutnya memantau kelompok peniaga Rambo ini khususnya yang tiada permit berniaga dan tidak mendapatkan suntikan tifoid untuk mengendali makanan.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Usahawan Bersatu Ipoh (PUBI) Berhad, Sharul Baha Abdul Rahman berkata, pelaksanaan bazar Ramadan adalah bagi menyelaraskan peniaga-peniaga kecil untuk berniaga dalam keadaan tersusun.
“Ia juga demi kebaikan ramai kerana peniaga bazar Ramadan sentiasa dipantau termasuk dalam soal kebersihan,” ujarnya.