fbpx

Lepas ayah meninggal, ibu pula strok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUHAMMAD KHAIRI (kiri) dibantu abangnya, Mohd. Miswadi menjaga ibu mereka yang terlantar akibat strok di rumah sewa mereka di Flat Taman Sahabat, Teluk Kumbar, Balik Pulau semalam.

BALIK PULAU – Seorang pemuda yang mengalami obesiti sanggup berhenti kerja demi menjaga ibunya yang kini terlantar akibat diserang strok separuh badan sejak empat bulan lalu di rumah sewa mereka di Flat Raman Sahabat, Teluk Kumbar di sini.

Muhammad Khairi Kamal, 28, yang mempunyai berat badan kira-kira 230 kilogram (kg) itu sebelum ini bekerja sebagai tukang sapu di sekitar perumahan flat berkenaan.

Bagaimanapun, dia terpaksa berhenti kerja bagi memberi tumpuan sepenuhnya terhadap ibunya, Patimah Mohamad, 61.

Menurut anak bongsu daripada dua beradik itu, meskipun obes, ia tidak menjadi penghalang buat dirinya untuk menguruskan ibunya sepenuh masa.

“Saya sentiasa berada di sisi ibu dan hanya akan keluar sekali sahaja dalam sehari untuk membeli makanan untuknya.

“Selebihnya saya akan duduk dekat dengan ibu untuk me­ngangkat, memandikannya, menyuap makanan dan menukar lampin pakai buang,” katanya ketika ditemui semalam.

Muhammad Khairi juga akan dibantu abang sulungnya, Mohd. Miswadi Kamal, 35, yang tinggal bersama keluarganya berhampiran flat berkenaan.

Menurut Muhammad Khairi, kehidupan keluarganya berubah selepas kematian bapa tiga tahun lalu akibat penyakit saraf tunjang.

“Dahulu, ibulah yang menjaga arwah bapa yang lumpuh satu badan dan kali ini, kami dua beradik pula menjaganya. Kami harap ibu segera sembuh dan dapat meraikan Aidilfitri bersama-sama seperti sebelum ini.

“Kami rindu masakan rendang dan nasi lemak air tangan ibu. Kami mahu lihat ibu aktif se­perti sebelum ini,” ujarnya.

Menurutnya, dia kini tiada lagi sumber pendapatan kerana sudah lama tidak bekerja, manakala ibu pula hanya bergantung bantuan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sebanyak RM550 sebulan.

Ujarnya, wang tersebut digunakan untuk membayar sewa rumah sebanyak RM400 sebulan, membeli lampin pakai buang dan makanan.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian melalui akaun BSN milik Muhammad Khairi Kamal iaitu 0714141000040897 atau menghubunginya di talian 011-2954 6529.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI