MANCHESTER – Para peminat Manchester City pastinya tidak sabar untuk melihat percaturan yang bakal digunakan pengurus mereka, Pep Guardiola dalam menghadapi saingan separuh akhir Piala FA menentang Liverpool di Wembley malam ini.
Aksi suku akhir menentang Atletico Madrid Rabu lalu menyaksikan Guardiola terpaksa memikirkan pelan baharu apabila beberapa tonggaknya berdepan masalah kecederaan.
Bagaimanapun, pemain pertahanan City, Aymeric Laporte optimis kelab itu kini berada di landasan tepat dan merasakan sasaran itu bukanlah sesuatu yang mustahil walaupun tiada jaminan The Citizens mampu raih tiga trofi musim ini.
“Saya fikir kami memiliki pasukan yang akan cuba memenangi segala-galanya. Kami akan hadapinya satu demi satu seperti yang kami sudah lakukan pada tahun-tahun yang lalu.
“Saya fikir kami adalah pasukan yang mahu menamatkan saingan dengan memenangi semua kejuaraan setiap kali musim baharu bermula.
“Kami juga tahu di mana kami berada sekarang dan sedar yang pasukan ini masih bersaing dalam tiga pertandingan. Kami tahu ia adalah sukar, namun saya fikir City mampu dan akan melakukannya,” kata pertahanan dari Sepanyol itu.
Selain memburu Piala FA, City juga kini masih mendahului Liverpool di puncak Liga Perdana Inggeris dan turut mengesahkan slot separuh akhir Liga Juara-Juara selepas mengetepikan Atletico Madrid.
Pertemuan dengan Liverpool ini adalah kali kedua dalam tempoh seminggu selepas seri 2-2 dalam saingan liga.
Walaupun dihimpit kepenatan, Laporte juga yakin City mampu raih keputusan positif.
“Jika segalanya dapat dilakukan mengikut apa yang dirancang, ia akan jadi minggu yang hebat buat kami sebagai pemain profesional,” jelasnya. – AGENSI