GUA MUSANG – Seorang lelaki Orang Asli yang dilaporkan hilang dalam hutan selepas keluar dari rumahnya di Kampung Rek Rek, Pos Hendrop di sini sejak Selasa lalu dipercayai nyanyuk dan mempunyai masalah pendengaran.
Anak lelaki mangsa, Armin, 35, berkata, bapanya, Itam Uda, 77, mungkin tidak menemui jalan keluar selepas masuk ke dalam kawasan hutan berhampiran kampung.
Katanya, dia telah membuat laporan polis di Pondok Polis Lojing di sini berhubung kehilangan bapanya itu kerana bimbang tentang keselamatannya.
“Sebelum ini, bapa yang mengalami kurang pendengaran dan penyakit lupa tidak pernah hilang kerana hanya berada di sekitar kawasan rumah sahaja.
“Saya yang tinggal bersama seorang lagi adik perempuan bimbang kerana dia keluar dari rumah sehelai sepinggang tanpa membawa bekalan makanan dan minuman,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari kedua diteruskan hari ini bagi mencari warga emas itu.
Katanya, tiada sebarang petunjuk ditemui sepanjang pencarian termasuk serangan binatang buas terhadap mangsa.- KOSMO! ONLINE