PUTRAJAYA – Jumlah keseluruhan aset pelaburan dimiliki enam syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) kini mencecah RM1.7 trilion.
Enam GLIC berkenaan termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Perbadanan Nasional Bhd. (PNB), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan), Khazanah Nasional Bhd; Lembaga Tabung Haji (TH) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, jumlah aset dimiliki itu menjadikan GLIC itu sebagai salah satu tonggak utama dalam pembangunan sosio-ekonomi negara dan berperanan penting menjana pemulihan juga pertumbuhan ekonomi negara dalam tempoh pasca-pandemik.
“Malah, GLIC itu juga akan memastikan Malaysia berjaya mencapai sasaran status negara berpendapatan tinggi menjelang penghujung tahun 2025, seperti yang digariskan di dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas, 2021-2025 (RMKe-12),” katanya pada majlis pelancaran Prinsip Tadbir Urus Baik GLIC atau PGG, hari ini.
Katanya, PGG yang dilancarkan itu akan menjadi rujukan tunggal garis asas tadbir urus dan amalan kemampanan semua GLIC.
Tengku Zafrul berkata, PGG juga akan menyarankan penubuhan struktur tadbir urus bagi pengawasan elemen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam strategi pelaburan oleh GLIC pada masa hadapan.
Menurutnya, PGG itu juga akan memastikan kesiapsiagaan GLIC untuk memenuhi permintaan pasaran berkaitan ESG yang semakin meningkat.
“Garis panduan yang termaktub di dalam dokumen PGG ini bertujuan untuk menajamkan lagi peranan yang dimainkan oleh GLICs dalam menghadapi cabaran di masa hadapan.
“Persekitaran yang mencabar ini telah mewujudkan keperluan mendesak untuk memastikan GLIC menambah baik amalan tadbir urus mereka supaya ia setaraf dengan amalan terbaik antarabangsa,” katanya.
Bagi memastikan GLIC dikemudi dengan baik, Tengku Zafrul berkata, PGG memberi penekanan terhadap peranan dan tangungjawab Lembaga Pengarah yang harus memimpin melalui teladan berdasarkan prinsip, serta kewajipan dalam ketelitian, ketelusan, dan kesetiaan.
“Malah, proses lantikan dan kelayakan seseorang Pengarah juga diberi penekanan penting dimana hanya individu yang berkelayakan dan mempunyai pengalaman yang luas, serta berintegriti akan diberi mandat sebagai ahli lembaga pengarah GLIC,” katanya. – KOSMO! ONLINE