fbpx

Sumbang lebih RM109 juta, Ahmad Zahid sanggah tidak salur satu sen pun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid ketika hadir di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Yayasan Akalbudi telah menyumbang melebihi RM109 juta untuk membiayai aktiviti amal jariah di dalam dan luar negara, sekaligus menyanggah kes pendakwaan bahawa badan amal itu tidak menyalurkan satu sen pun untuk membantu golongan yang memerlukan.

Presiden UMNO itu memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, jumlah tersebut hanya sebahagian daripada sumbangan yang disenaraikan manakala selebihnya tidak perlu diceritakan berdasarkan prinsip `tangan kanan yang memberi, tangan kiri tidak perlu mengetahuinya’.

Bekas Timbalan Perdana Menteri turut mempertikai mengapa beliau dimalukan dan dizalimi walhal beliau menggunakan pendapatannya untuk menyalurkan bantuan dengan tujuan yang baik.

“Pada hari Jumaat (yang mulia) ini, saya tidak mahu menyanggah sebarang pernyataan mana-mana pihak sebagaimana prinsip yang saya pegang, kalau tangan kanan memberi, tangan kiri tak perlu mengetahuinya.

“Saya mahu keadilan diberikan kepada saya kerana sumbangan itu dilakukan dengan niat yang baik semata-mata kerana Allah SWT, mengapa saya harus dimalukan, diaibkan dan dizalimi?” ujarnya ketika mengemukakan keterangan bela diri.

Ahmad Zahid menyatakan demikian pada sesi pemeriksaan utama yang dikendalikan oleh peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal pada hari kedua perbicaraan.

Presiden UMNO sebelum itu dirujuk kepada dua eksibit yang menyenaraikan sumbangan beliau di dalam dan luar negara sejak penubuhan Yayasan Akalbudi pada 1997 sehingga dana yang disimpan oleh pemegang amanah, Tetuan Lewis & Co. dibekukan ekoran pendakwaan terhadapnya pada 2018.

Terdahulu, peguam bela membangkitkan isu ketika pendakwaan membentangkan kesnya bahawa Yayasan Akalbudi didakwa tidak menyalurkan walau satu sen pun daripada dana RM31 juta untuk kegiatan membantu golongan miskin dan memerlukan.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI