fbpx

Semak status 40,543 pemilih baharu bermula hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Individu berusia 18 tahun dan ke atas atau mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran status boleh membuat semakan dalam Daftar Pemilih Tambahan Bulan Mac Tahun 2022 (DPT BLN3/2022) bermula hari ini.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, DPT BLN3/2022 telah diwartakan bermula hari ini setelah diperakui semalam dan dibuka untuk semakan selama 30 hari sehingga 14 Mei depan.

“DPT BLN3/2022 ini mengandungi nama bagi 40,543 orang warganegara berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 Mac hingga 31 Mac 2022 yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu, 12,286 orang pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 5,019 orang pemilih bertukar status atau kategori pengundi.

“Sekiranya mereka mendapati nama tidak disenaraikan dalam DPT BLN3/2022, tuntutan boleh dibuat dengan mengisi Borang C melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semakan boleh dibuat menerusi pautan https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my; portal rasmi Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my; aplikasi online https://myspr.spr.gov.my; atau hotline SPR di talian 03-8892 7018.

Menurut Ikmalrudin, pemilih berdaftar yang berhasrat membuat bantahan ke atas kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian pilihan rayanya boleh berbuat demikian dengan mengisi Borang D dan hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.

“Borang C dan Borang D boleh dimuat turun dari portal Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my dan hendaklah dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri berkenaan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh semakan DPT BLN3/2022.

“Maklumat lanjut mengenai urusan semakan DPT BLN3/2022 boleh didapati dengan melayari portal rasmi SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-8892 7018 atau mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri,” ujar beliau. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI