PUTRAJAYA – Perbadanan Putrajaya (PPj) mengeluarkan satu notis amaran kepada sebuah gerai makanan di Bazar Ramadan Putrajaya, Presint 3, di sini susulan isu kebersihan makanan seperti yang tular di media sosial sejak kelmarin.
Pengarah Bahagian Kesihatan Persekitaran, Jabatan Perkhidmatan Bandarnya, Dr. Mohd. Helmi Abdul Hamid berkata, pihaknya mengeluarkan notis Amaran di bawah UUK 30(1)(c), Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja (WP Putrajaya) 2016.
Beliau berkata, notis itu dikeluarkan bersabit dengan kesalahan di mana pemegang lesen gagal memastikan kawasan tapak menjaja dalam keadaan bersih.
“Kami sudah membuat pemantauan dan pemeriksaan rapi di keseluruhan kawasan dan gerai Bazar Ramadan Putrajaya di Presint 3 termasuk gerai yang terlibat dengan isu kebersihan makanan itu.
“PPj dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Putrajaya akan terus giat melaksanakan pemantauan serta pemeriksaan kebersihan ke atas semua lot gerai Bazar Ramadan Putrajaya,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, tular satu video memaparkan satu juadah berbuka yang dibeli di bazar berkenaan telah dicemari dengan ulat.
Video dikongsi menerusi aplikasi TikTok itu tular di media sosial sejak kelmarin sehingga mendapat kecaman dan kritikan netizen. -KOSMO! ONLINE