fbpx

‘Tiket kapal terbang mahal sangat’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Impian orang Sabah dan Sarawak untuk pulang ke kampung bagi menyambut lebaran tahun ini sedikit terjejas apabila terpaksa membeli tiket kapal terbang pada harga yang mahal bagi sesetengah penerbangan ke dua negeri itu. 

Tinjauan Kosmo! di laman web rasmi syarikat-syarikat penerbangan mendapati, tambang tiket penerbangan melonjak naik sehingga mencecah RM1,000 bagi tiket satu hala untuk ke negeri seperti Sabah dan Sarawak. 

Seorang pekerja swasta, Mohd. Fadhli Mohd. Sulaiman, 26, berkata, sudah tiba masanya untuk kerajaan masuk campur bagi mengawal kenaikan harga tiket penerbangan yang melampau sempena musim perayaan. 

Mohd. Fadhli berkata, kenaikan harga tiket penerbangan ketika ini tidak patut berlaku terutama sekali dalam keadaan negara yang baru sahaja mahu beralih ke fasa endemik akibat wabak Covid-19. 

“Kebiasaannya harga tiket paling mahal untuk dua hala ke Tawau, Sabah hanya RM400. Tetapi, apabila menjelang perayaan harga tersebut boleh melonjak naik sehingga tiga ke lima kali ganda. 

“Ini satu keadaan yang sangat melampau kerana bukan semua orang mampu. Selepas dua tahun tidak boleh balik ke kampung kerana sekatan Perintah Kawalan Pergerakan, jadi tahun ini sudah pasti ramai yang mahu balik beraya,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam. 

Katanya, dia berharap kerajaan dapat mewujudkan situasi menang-menang antara pembeli dan penyedia perkhidmatan serta menetapkan satu standard bagi harga tiket penerbangan tiap kali musim perayaan agar tidak membebankan rakyat. 

Sementara itu, bagi seorang lagi pekerja swasta, Mohd. Shyafiq Baharun, 26, dia terpaksa membeli tiket penerbangan seminggu sebelum Hari Raya Aidilfitri dan pulang semula ke semenanjung sehari sebelum perayaan kerana pada tarikh itu sahaja harga tiket berbaloi untuk dibeli. 

“Ramai orang berkata, jika mahukan tiket penerbangan yang murah belilah sebulan atau dua bulan lebih awal, tetapi ia bukan sesuatu yang mudah bagi individu yang bekerja. 

“Kadang-kadang individu yang bekerja ini hendak mendapatkan kelulusan cuti daripada majikan agak lambat, jadi untuk mengelakkan tiket penerbangan hangus memang perlu tunggu kelulusan cuti dahulu,” katanya. 

Katanya, kadang-kala harga tiket terlalu mahal juga menyebabkan ramai perantau dari Sabah atau Sarawak mengambil keputusan untuk beraya di perantauan. 

“Masalah harga tiket melambung semasa musim perayaan ini sudah lama berlaku, kadangkala melampau sehingga boleh mencecah RM1,000 untuk tiket sehala. 

“Sebagai pengguna, saya sendiri buntu dengan keadaan ini. Sehinggakan harga tiket untuk ke luar negara lebih murah daripada hendak pulang ke negeri sendiri,” ujarnya. 

Berdasarkan tinjauan Kosmo! di media sosial juga mendapati, orang ramai mengeluh dengan kenaikan harga tiket yang dianggap melampau terutama sekali apabila ramai yang terkesan dengan wabak Covid-19. 

“Kes tiket mahal ini dah bertahun terjadi. Setiap kali musim perayaan mesti ada kes seperti ini. Bila suruh tetapkan harga siling, tak mahu. Takkan rakyat nak hadap perkara ini setiap kali musim perayaan?,” soal Aizat. 

“Tiket penerbangan ke Sabah dan Sarawak mahal bila menjelang perayaan, tambah lagi syarikat penerbangan dan persaingan secara terbuka. Menteri berkaitan tolong lakukan sesuatu, isu setiap tahun,” kata Daeng Zahari. 

Semalam, Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin meminta Kementerian Pengangkutan campur tangan dan menangani isu kenaikan harga tiket penerbangan dengan segera. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI