PUTRAJAYA – Penyembelihan halal yang dilakukan syarikat Thomas Foods Industries adalah mematuhi keperluan standard penyembelihan halal Malaysia dan peraturan ke atas haiwan yang ditetapkan pihak berkuasa Australia.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Hakimah Mohd. Yusoff berkata, perkara itu dimaklumkan oleh pegawai atas halal jabatan tersebut di Canberra, Australia yang menjalankan audit berkala ke atas syarikat tersebut pada 2 Mac lalu.
“Pihak Supreme Islamic Council of Halal Meat in Australian Inc. (SICHMA) juga telah membuat kenyataan akhbar pada 12 April lalu memberi penjelasan serta menafikan dakwaan ketidakupayaan organisasi tersebut dalam membuat pengesahan halal ke atas rumah sembelihan di bawah seliaan mereka.
“SICHMA memaklumkan bahawa mereka telah membuat pengauditan berkala ke atas Thomas Foods International,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Media semalam melaporkan, status halal sebuah rumah penyembelihan haiwan di Australia yang turut mengeksport daging ke Malaysia didakwa diragui apabila prosedur penyembelihan didakwa tidak mengikut syariat Islam.- KOSMO! ONLINE