PERSEORANGAN profesional lelaki negara, Soong Joo Ven tampil cemerlang apabila berjaya mara ke peringkat suku akhir Masters Korea selepas menumbangkan wakil tuan rumah, Heo Kwang-hee semalam.
Pada saingan tersebut, Joo Ven mempamerkan aksi cukup agresif apabila hanya memerlukan tempoh 40 minit untuk mengatasi perseorangan lelaki No.1 satu Korea Selatan tersebut dengan keputusan 21-11, 21-19.
Pemain berusia 26 tahun tersebut mengakui bahawa dia sangat gembira selepas berjaya melangkah ke pusingan seterusnya dan bangga taktikal permainannya membantunya mencatat kemenangan.
“Saya bagi persembahan yang cukup bagus untuk menang perlwanan hari ini dan esok saya akan cuba yang terbaik. Saya sebenarnya tidak begitu risau dengan status pemain lawan hari ini.
“Perkara paling utama adalah saya perlu berikan persembahan terbaik pada setiap perlawanan,” katanya yang akan berdepan berdepan Misha Zilberman dari Israel di suku akhir hari ini.
Turut mara ke suku akhir ialah gandingan beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai yang menumpaskan Misha-Svetlana Zilberman 21-5, 21-8. Menanti mereka di suku akhir ialah gandingan Singapura, Terry Jee-Tan Wei Han yang sebelum itu menumpaskan wakil tuan rumah, Kim Yong Hyuk-Kim Hye Jeong 22-20, 23-21.
Bagaimanapun, satu lagi pasangan beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Toh Ee Wei gagal meneruskan saingan seterusnya selepas tewas 18-21, 14-21 kepada Zheng Si Wei-Zhang Shu Xian.
Beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong tewas kepada Hiroki Okamura-Masayuki Onodera (Jepun). Seorang lagi pemain KLRC, Goh Jin Wei berhempas-pulas sebelum kalah di tangan wakil China, Wang Zhi Yi, 22-20, 7-21, 12-21.