fbpx

Pelancongan global rugi RM1.9 trilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MADRID – Krisis ­koronavirus ­menyebabkan sektor ­pelancongan global kerugian AS$460 bilion (RM1.9 trilion) dalam tempoh enam bulan ­pertama 2020 ekoran jumlah ­individu melancong menyusut, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam.

Jumlah kerugian itu berlaku antara Januari hingga Jun lalu menyamai ‘hampir lima kali ­ganda kerugian pelancongan ­antarabangsa yang ­direkodkan pada 2009 semasa krisis ­ekonomi dan kewangan global, menurut kenyataan Pertubuhan ­Pelancongan Dunia (WTO) yang berpangkalan di Madrid.

Jumlah ketibaan pelancongan susut sebanyak 440 juta orang semasa tempoh sama atau 65 peratus dengan penurunan ­paling ketara berlaku di Asia, rantau ­pertama terkena impak Covid-19.

“Ia mewakili penurunan yang belum pernah disaksikan, pada ketika negara di serata dunia menutup pintu kemasukan dan mengenakan larangan ­perjalanan sebagai respons terhadap ­pandemik,” menurut WTO.

Pada ketika sektor ­pelancongan semakin pulih di ­beberapa ­tempat, agensi itu memberi ­peringatan bahawa ­‘penurunan permintaan ­pelancongan dan keyakinan konsumer’ akan terus memberi impak ke atas sektor berkenaan sepanjang tahun ini.

Jumlah ketibaan pelancong ­asing diramal susut kira-kira 70 peratus pada tahun ini kerana pandemik Covid-19.

Pelancongan antarabangsa naik empat peratus pada 2019 ­kepada 1.5 bilion, dengan ­Perancis menjadi negara paling banyak ­dilawati diikuti Sepanyol dan Amerika Syarikat.

Kali terakhir jumlah ­ketibaan pelancong tahunan susut ­adalah pada 2009 semasa dunia berdepan krisis ekonomi, susut empat peratus.

Agensi PBB itu ­berpendapat tempoh sekurang-kurangnya dua hingga empat ­tahun diperlukan untuk melihat ­jumlah ketibaan pelancong dunia ­kembali pulih ke paras tahun yang sama dicatat pada 2019. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI