KUALA TERENGGANU – Bubur lambuk lebih enak dengan menggunakan beras Era jenis Nagasari Super Spesial Tempatan.
Tukang masak bubur lambuk ‘Sejid Putih’, Nurul Amirah Che Harun berkata, tekstur butir nasi yang tidak terlalu hancur membuatkan ia sesuai untuk pembuatan bubur lambuk.
“Memasak bubur lambuk tidak boleh sama dengan masakan bubur yang lain.
“Ini kali pertama saya menggunakan beras Era jenis Nagasari Super Spesial Tempatan untuk memasak bubur lambuk dan hasilnya sangat memuaskan,” katanya ketika ditemui pada program Kongsi Berkat Ramadan di Masjid Abidin di sini kelmarin.
Nurul Amirah bersama para pembantunya memasak hidangan tersebut selama hampir dua jam setengah untuk menyiapkan lima periuk bubur lambuk bagi program tersebut.
Jelas beliau, bubur lambuk ‘Sejid Putih’ amat terkenal di Terengganu kerana keenakan dan memiliki keunikannya tersendiri.
“Bubur lambuk ini agak berbeza kerana ia dimasak menggunakan isi ikan, budu dan juga santan kelapa.
“Bubur lambuk versi Terengganu juga diperkaya dengan sayuran seperti daun kaduk, pucuk midin, daun moringa dan pucuk ubi kayu serta ubi keledek,” katanya.
Dalam pada itu, seorang penduduk, Normaj Mohd. Nor, 56, berkata, dia sangup datang dari Kampung Mengabang Tengah, Batu Burok di sini, untuk mengambil bubur lambuk percuma terbabit.
“Aroma bubur lambuk ini sangat wangi dan pasti rasanya enak. Ia hidangan lengkap dengan nutrisi untuk berbuka puasa.
“Saya bersyukur kerana berpeluang mendapatkan bubur lambuk untuk dibawa pulang walaupun terpaksa beratur panjang,” katanya.