FENOMENA Cinta Sampai Mati yang meraih 26 juta tontonan menerusi YouTube dalam tempoh dua bulan memperkenalkan nama penyanyi muda Indonesia, Raffa Affar hingga ke negara ini.
Bait lirik ‘dengarkanlah di sepanjang malam aku berdoa’ yang trending dalam kalangan pengguna media sosial di Malaysia sentiasa berkumandang setiap kali membuka TikTok mahupun Instagram.
Lenggok vokal Raffa yang mendayu-dayu membuatkan dendangan ciptaan isteri pemain gitar Kangen Band, Ayu Rizki Yani itu memberi nilai tambah dan kedengaran sangat mengasyikkan.
Andai selama ini anak muda tersebut lebih dikenali sebagai personaliti media sosial yang membawakan lagu saduran, Cinta Sampai Mati merealisasikan impiannya untuk merakamkan single.
“Saya akui sudah lama teringin mempunyai single original sendiri dan bersama penghasilan Cinta Sampai Mati, semua ini umpama impian menjadi kenyataan.
“Sudah tentu saya berharap kehadiran dendangan ini memenuhi kehendak dan cita rasa penggemar muzik bukan hanya di Indonesia, malah di Malaysia, Brunei dan Singapura.
“Bagi single perdana ini, bersama dengan sokongan pasukan syarikat rakaman, kami cuba menghasilkan genre muzik yang sedikit berbeza dengan lagu viral lain sebagai eksperimentasi,” katanya.
Kongsi anak muda kelahiran Jawa Barat itu lagi, asalnya single berkenaan diberi judul Dengarkanlah oleh penulis lirik sebelum diputuskan label Botram Media Entertainment kepada tajuk yang lebih universal.
“Kami mahu lagu ini mampu menyampaikan mesej tepat kepada khalayak iaitu cinta terhadap insan kesayangan sama ada ibu bapa yang masih ada mahupun yang sudah pergi, keluarga atau pasangan.
“Maka terciptalah judul baharu yang mempunyai lirik lebih segar sebagai pengisian tepat untuk intipati dendangan seperti ‘dengarkanlah di sepanjang malam aku berdoa’.
“Selepas melakukan sedikit perubahan, menjelang pelancaran lagu ini pihak label meletakkan judul Cinta Sampai Mati,” kongsinya dengan penuh semangat.
Mengenali pemilik nama sebenar Raffa Aldiansyah itu dengan lebih dekat, sebelum ini dia cenderung membawakan semula lagu genre ketuhanan termasuk selawat serta nasyid.
Begitupun, Raffa yang aktif memuat naik setiap video lagu ‘cover version’ tidak ketinggalan menjadikan seleksi popular sebagai pilihan.
Memiliki suara dan gaya nyanyian tersendiri, tidak hairan dia mengumpul peminat yang ramai dalam media sosial iaitu lebih empat juta pengikut TikTok.
Sementara itu, single Cinta Sampai Mati dilancarkan bawah label muzik Hayat Kreatif Studio untuk pasaran Malaysia, Brunei serta Singapura, manakala di Indonesia dan negara lain, edaran dikendalikan Botram Media Entertainment.
Single berkenaan juga menjadi kolaborasi pertama Hayat Kreatif Studio bersama Botram Media Entertaintment.