fbpx

Iftar menu fusion Bangsar-wan di Knowhere Bangsar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
'Iftar Bangsar-wan' menawarkan enam pilihan menu ala-carte untuk pengunjung.

BULAN Ramadan di negara ini secara tidak langsung turut menampilkan pesta makanan setiap petang yang merupakan peluang terbaik buat orang ramai mencuba hidangan menarik ketika berbuka.

Selain berbuka dengan juadah yang dibeli di bazar, rakyat Malaysia juga boleh mengambil peluang untuk mencuba masakan baharu di restoran-restoran yang menawarkan juadah istimewa yang mungkin hanya boleh didapati sempena Ramadan.

Bagi meraikan kedatangan bulan mulia ini, sebuah restoran di ibu kota mempertaruhkan pilihan menu terbaiknya untuk dinikmati pengunjung sepanjang bulan Ramadan.

Terkenal dengan menu fusion, restoran Knowhere Bangsar yang beralamat di 50, Jalan Maarof, Bangsar menawarkan seleksi menu ala-carte dengan konsep bazar Ramadan untuk dicuba pelanggan.

Hidangan diberi nama Roti John Bendahara ini diinspirasikan daripada roti john yang sering menjadi pilihan pengguna ketika berbelanja di bazar-bazar Ramadan seluruh negara.

Menu berkonsepkan bazar Ramadan yang dikenali ‘Iftar Bangsar-wan’ itu menawarkan enam pilihan menu ala-carte yang boleh dinikmati pengunjung.

Antaranya termasuk Sembilang Lomak Podeh yang merupakan hidangan ikan sembilang masak lemak cili api, Churos Keria iaitu hidangan pencuci mulut churos yang dimasak ala kuih keria dan juga Roti John Bendahara yang pastinya memikat selera.

Menurut Cef Restoran Knowhere Bangsar iaitu Faiz Muizudin, pilihan menu tersebut adalah berkonsepkan hidangan yang sering didapati di bazar-bazar Ramadan namun diberi sentuhan lima bintang.

“Menu seperti Roti John Bendahara misalnya, diinspirasikan daripada menu roti john yang merupakan antara menu paling popular pada bulan Ramadan.

“Namun, bagi memberikan sentuhan baharu, Roti John Bendahara ini dihidangkan bersama hirisan daging steak yang disajikan bersama hirisan bawang karamel dan cili benggala yang dibakar di atas kepingan roti yang rangup,” katanya.

Sembilang Lomak Podeh wajib dicuba penggemar masak lemak.

Tambah Faiz, hidangan Sembilang Lomak Podeh pula merupakan menu yang wajib dicuba oleh penggemar menu masak lemak.

“Menu ikan sembilang ini dihidangkan bersama kuah masak lemak yang dimasak pekat dan penuh rasa yang bakal membuatkan anda teringat-ingat,” katanya.

Namun, bagi menu tersebut, pengunjung perlu membuat tempahan dua hari lebih awal bagi memastikan restoran Knowhere Bangsar boleh menyediakannya dengan sempurna.

Bagi pilihan pencuci mulut pula, restoran Knowhere Bangsar menyajikan menu Churros Keria iaitu gabungan menu popular dari Sepanyol iaitu churros dengan kuih keria.

Ia kemudiannya dihidangkan bersama taburan kelapa kering dan sirap gula melaka yang cukup enak, menjadikan ia menu hidangan penutup yang sempurna.

Tiga menu pilihan lain Iftar Bangsar-wan ialah Bangalore Shawarma, Ayam Golek Raja dan Murtabak Mahkota.

Cef Faiz bersama barisan tukang masak Knowhere Bangsar optimis menu disediakan mampu menambat deria rasa pengunjung yang hadir untuk berbuka puasa.

Selain dine-in, kesemua menu Iftar Bangsar-wan juga boleh dibungkus atau dipesan untuk penghantaran ke rumah.

Harga bagi setiap satu hidangan ala-carte Iftar Bangsar-wan bermula daripada RM22.80++ sehingga RM76.80++ mengikut jenis.

Ia dibuka setiap hari bermula pukul 11 pagi sehingga 2 pagi dan tempahan boleh dibuat di talian 010-220 2358. – KOSMO! ONLINE.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI