fbpx

Nama sedang ‘in’, Aedy Ashraf tak nak kaut semua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AEDY ASHRAF

PERJALANAN Aedy Ashraf sebagai anak seni bukan dalam tempoh yang singkat. Memulakan kerjaya sejak dua dekad lalu sebagai pelakon cilik, kini namanya sebaris dengan aktor hebat tanah air lain.

Pacuan kariernya boleh dikatakan lebih laju berbanding daripada rakan seangkatan yang sama-sama memulakan kerjaya lakonan sejak kecil.

Seperkara yang penting, tidak pernah wujud sekali pun fasa ‘hilang daripada radar’ dalam kamus karier pemilik nama penuh Mohammad Addy Ashraf Rosmadi itu.

Jiwa untuk seni

Sedari lama dahulu hingga kini, anak kelahiran Bachok, Kelantan itu bersyukur kerana bakatnya masih diangkat dan diterima umum tanpa skeptikal usia.

Rezeki juga semakin berpihak kepadanya sejak dua tahun kebelakangan ini apabila sering menerima tawaran sebagai teraju utama dalam beberapa buah drama popular.

“Jika nak cakap tentang pelakon kanak-kanak seangkatan saya semakin lama semakin malap, mungkin ini bukan jalan yang mereka pilih.

“Minat mereka mungkin untuk perkara lain atau ada industri lain yang lebih sesuai dengan mereka berbanding dunia seni,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

AEDY mengakui semakin berhati-hati dalam pemilihan tawaran dan watak yang ditawarkan kepadanya untuk mengelak daripada memegang watak sama berulang kali. Foto – RENJANA MALAYSIA

Menolak untuk membanding-bandingkan perjalanan kariernya dengan orang lain, Aedy memberitahu jiwanya dilahirkan dan paling utama juga, akan diabadikan hanya untuk industri seni sampai bila-bila.

“Untuk saya pula, saya sememangnya dilahirkan untuk industri seni. Jiwa saya di sini.

“Industri seni ini sesuatu yang saya sangat sayangi. Seboleh-bolehnya, saya nak kekal di dalam dunia seni untuk selama-lamanya.

“Jika tidak lagi sebagai pelakon, mungkin sebagai pengarah atau apa sahaja berkaitan industri,” kata aktor berusia 29 tahun itu.

Hati-hati terima tawaran

Mengajaknya bercakap tentang tumpuan yang semakin menerjang ke arahnya, populariti mahupun keghairahan menjadi terkenal tidak pernah terlintas dalam fikirannya.

Tutur pelakon yang pernah menghangatkan emosi ramai menerusi naskhah Kisah Cinta Kita itu, populariti bukan keutamaan yang dikejar dalam perjalanan karier sebagai anak seni.

“Kerjaya saya bukan tentang popular atau terkenal. Semuanya tentang minat terhadap apa yang dilakukan.

“Jika kita berikan seluruh jiwa dalam kerjaya ini, semuanya pasti akan datang secara semula jadi,” ujarnya.

TEGAS Aedy, dia dilahirkan untuk industri seni dan selama-lamanya akan mengabadikan diri sebagai anak seni biarpun mungkin suatu hari nanti tidak lagi aktif sebagai pelakon.

Berbicara tentang graf kerjayanya yang semakin meningkat, anak kepada pelakon veteran, Liza Zain itu bersyukur kerana rezeki tawaran lakonan semakin mencurah.

“Bercakap tentang momentum sejak dua tahun kebelakangan ini, Alhamdulillah tawaran berlakon memang banyak masuk.

“Peranan saya ialah untuk memastikan watak yang diterima tidak stereotaip dan cerita yang ingin dipersembahkan mampu memberi impak, sekali gus membawa kelainan,” katanya lagi.

Dia juga berusaha mencari kelainan dalam setiap watak yang dipegang bagi memastikan penonton merasai perbezaan selain mencabar kemampuan diri.

“Saya cuba cipta kelainan dan graf lakonan berbeza untuk setiap naskhah.

“Kini tiada lagi istilah ‘main kaut’ semua tawaran yang diberikan supaya momentum itu kekal lama.

“Senang cakap, saya lebih berhati-hati menerima dan memilih watak,” jelasnya.

Kerisauan watak bapa

Berkongsi mengenai drama terbaharu lakonannya bersama Eyka Farhana iaitu Bila Hati Memilih Dia, Aedy mengakui hatinya sedikit gusar ketika ditawarkan watak seorang bapa bernama Nazril dalam naskhah tersebut.

Katanya, peranan sebagai bapa tidak pernah dimainkan dalam mana-mana drama lebih-lebih lagi pada usianya yang boleh dihitung masih muda.

PERNAH popular dengan watak Mawi dalam filem Tentang Bulan, Aedy yang kini hangat digosipkan dengan aktres jelita, Amelia Henderson masih mengunci mulut daripada mengesahkan mahupun menafikan desas-desus tersebut.

“Sejujurnya, saya memang risau nak terima watak sebagai seorang bapa sebab selama ini kalau boleh memang tak mahu.

“Risau tak mampu nak jayakan dengan baik dan takut watak sebegitu melekat dengan saya untuk projek akan datang.

“Namun selepas dipujuk dan diyakinkan penerbit, saya ambil sebagai satu bentuk cabaran. Setakat ini saya puas hati dengan persembahan karakter Nazril itu,” kongsinya.

Dalam pada itu, dia juga sempat berkongsi mengenai pengalaman berlakon sebagai bapa kepada pelakon cilik, Maryam Annisa yang memegang watak sebagai Nufail.

“Berlakon dengan kanak-kanak tidaklah terlalu susah sebab perlu memahami perangai dan ragamnya terlebih dahulu.

“Berbekalkan pengalaman saya sebagai pelakon cilik, saya gunakan semuanya untuk cuba memahaminya sampai satu tahap dia sangat akrab dengan saya.

“Semua itu mengingatkan kembali kenangan saya masuk set penggambaran ketika kecil dulu. Saya ajarnya menangis dengan metod sama yang saya pernah guna dan berjaya!” tuturnya teruja.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI