PETALING JAYA – Keterujaan pelakon Fiza Halim yang berkongsi kegembiraan kerana dapat bertemu dengan dua orang anak gadisnya selepas beberapa bulan tidak berjumpa dicemari dengan komen negatif netizen dalam Instagram.
Menurut Fiza atau nama lengkapnya Siti Zaidatul Fiza Binti Abd. Halim, dia tidak memerlukan khidmat ustaz dan ustazah jadian dalam ruangan komen Instagramnya berkenaan perkongsiannya bersama anak-anak.
Penegasan tersebut diluahkan pelakon itu dipercayai selepas ada netizen menyentuh tentang aurat anak-anak gadisnya yang tidak memakai tudung apabila mengakui rambut mereka kelihatan tidak cantik dalam gambar dan video dirakamnya.
“Maaf ya, saya tak perlukan ustaz atau ustazah jadian dalam ruangan komen saya! Saya kongsi gambar anak-anak hanya untuk peminat yang rindukan perkembangan saya dan anak-anak. Bukan untuk komen jadi ustazah dalam Instagram saya,” katanya dalam hantaran InstaStory.
Pelakon berusia 41 tahun itu turut menegur netizen supaya jangan membuatkan dia dan anak-anaknya berasa kecil hati kerana komen sebegitu lebih elok jika ditulis menerusi kiriman mesej (DM), bukannya secara terus di hadapan umum.
“Kalau tak suka, sila ‘unfollow’. Jangan kecilkan hati saya dan anak-anak. Bukan tak boleh menerima teguran, tapi kalau nak tegur, boleh mesej DM saya. Bukan secara umum macam ini. Insya-Allah saya akan balas.
“Bila tak kongsi gambar anak, cakap macam-macam. Bila dah kongsi, macam ini pula. Memang susah nak puaskan hati semua orang. Tapi ada aku kisah? Aku tak kisah langsung!” tulisnya lagi.
Semalam, Fiza menerusi beberapa hantaran memuat naik gambar dan video kedua-dua anaknya iaitu Ferra Aryana, 14, dan Feeya Adyrra, 13, ketika mereka keluar makan bersama sempena meraikan sambutan ulang tahun Feeya yang ke-13.
Sekadar info, Ferra dan Feeya merupakan anak hasil perkahwinan Fiza dengan Ahmed Farriq Zainul Abidin.
Bagaimanapun rumah tangga mereka musnah apabila bercerai pada 4 November 2010 selepas hampir empat tahun berkahwin.
Selain itu, Fiza turut memiliki seorang lagi anak perempuan, Siti Alena Adra atau Baby Aleena, 4, hasil perkahwinan ketiga yang dibinanya pada Disember 2016 bersama bekas suami, Aizat Al Jefri. – KOSMO! ONLINE