KUALA LUMPUR – Bekas penghuni Rumah Bonda Yasmin Nahar Mahmood, memberitahu Mahkamah Sesyen di sini bahawa seorang remaja perempuan sindrom down yang dikenali sebagai Bella didera setiap hari oleh pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali.
Saksi pendakwaan kelima, itu berkata, kejadian sejak Mac 2021 hingga 24 Jun 2021.(sehingga saksi pendakwaan pertama menemui Bella).
“Saya dan Aida (seorang lagi penghuni rumah itu) turut diarahkan oleh Siti Bainun untuk memukul Bella,” katanya.
Saksi itu berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh peguam Farhan Maaruf.
Dalam pada itu, saksi itu turut berkata, dia tidak bersetuju dengan cadangan peguam bahawa tiada penghuni Rumah Bonda lain yang didera selain Bella oleh Siti Bainun.
Kata saksi itu, selain Bella turut didera ialah seorang lagi penghuni lain yang dikenali sebagai ‘Kak Hidayah’.
“Kakak Hidayah tidak suka mendengar arahan Bainun jadi anak Kak Hidayah disita oleh Bainun, dia (Kakak Hidayah) tidak boleh menyusukan atau memegang anaknya,” kata saksi itu.
Sementara itu ketika disoal peguam itu apakah perbezaan aktiviti di Rumah Bonda (Setapak) dengan kondominium (Wangsa Maju), saksi itu berkata di kondominium, dia perlu menjaga dan mengemas rumah selain ditugaskan untuk mengemas tempat tidur dan mengurut Siti Bainun termasuk menyusun baju-baju pengasas rumah kebajikan itu.
Dalam pada itu saksi itu turut memberitahu bahawa memasak sendiri termasuk memasak untuk adik-adik angkatnya yang berusia bawah tiga tahun tanpa Siti Bainun menyediakannya.
Perbicaraan dihadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung lagi esok. – KOSMO! ONLINE