fbpx

Aset ketenteraan Rusia dibawa ke sempadan Finland

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kereta kebal Rusia bergerak ke arah Ukraine pada 24 Februari lalu. - Getty Images

MOSCOW – Tentera Rusia didakwa sedang memindahkan peralatan ketenteraan menuju ke arah sempadan negaranya dengan Finland, lapor akhbar Metro UK, kelmarin.

Tindakan tersebut dipercayai didorong oleh ura-ura bahawa Finland bakal menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) selepas bimbang menerima nasib serupa seperti Ukraine.

Perdana Menteri Finland, Sanna Marin dalam satu kenyataan baru-baru ini berkata, kebarangkalian bagi keahlian itu akan dibincangkan dalam masa beberapa minggu akan datang.

Namun begitu, beberapa rakaman gambar baharu yang membimbangkan telah muncul apabila ia menunjukkan paparan dramatik, didakwa pencerobohan Rusia.

Peralatan ketenteraan termasuk sistem pertahanan pantai, dilihat di jalan-jalan raya dari Rusia menuju ke Helsinki. Peluru berpandu membentuk sistem pertahanan pantai mudah alih K-300P Bastion-P dilaporkan turut kelihatan.

Sebelum itu, jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov memberi amaran bahawa peluasan pengaruh NATO di negara bekas soviet tidak akan membawa kestabilan buat Eropah.

Finland, dan jirannya Sweden, sebelum ini telah mengelak daripada menjadi ahli NATO dalam usaha untuk tidak mencetuskan provokasi terhadap Rusia, namun pencerobohan Ukraine mencetuskan pertimbangan semula tentang keahlian itu.

Jika mereka menyertai NATO, kedua-dua negara akan mendapat manfaat daripada klausa pertahanan perikatan, yang menyeru semua ahli untuk mempertahankan mana-mana sekutu yang diserang.

Setiausaha Agung NATO, Jens Stoltenberg berjanji bahawa Sweden dan Finland boleh menyertai pakatan itu dengan mudah jika mereka memutuskan untuk memohon keahlian. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI