fbpx

Penduduk miskin tegar bertambah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penduduk beratur untuk mendapatkan bekalan minyak tanah di Sri Lanka selepas kerajaan memotong perbelanjaan awam untuk menampung peningkatan kos mengimport bahan api dan makanan. - Rebecca Conway/Getty Images

LONDON – Satu laporan yang disediakan oleh badan kebajikan Britain, Oxfam, mendedahkan bahawa Covid-19, kenaikan harga makanan dan minyak akibat krisis Rusia-Ukraine boleh menyebabkan 860 juta penduduk dunia menjadi miskin tegar menjelang hujung tahun ini.

Laporan bertajuk First Crisis, Then Catastrophe itu menyatakan bahawa gabungan krisis tersebut boleh meningkatkan bilangan individu yang hidup dalam kancah kemiskinan tegar sebanyak lebih satu perempat bilion.

Menurut laporan agensi berita United Press International kelmarin, mereka yang hidup dengan kurang daripada AS$1.90 (RM8.03) sehari dikategorikan sebagai miskin tegar.

Oxfam mengeluarkan laporan tersebut menjelang Mesyuarat Musim Bunga Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa minggu depan di Washington.

Unjuran asal Bank Dunia menunjukkan bahawa 198 juta lagi orang di seluruh dunia akan bergelut dengan tahap kemiskinan yang sukar akibat pandemik berterusan dan ketidaksamaan global yang semakin teruk.

Walau bagaimanapun, anggaran terbaharu Oxfam menunjukkan bahawa peningkatan kos makanan sahaja akan menyebabkan kemiskinan yang serius kepada lebih 65 juta orang di seluruh dunia dengah 263 juta lagi akan jatuh ke tahap kemiskinan melampau.

Anggaran Bank Dunia menunjukkan bahawa 3.3 bilion orang iaitu hampir separuh daripada populasi global kini berada di bawah paras kemiskinan dan hidup dengan AS$5.50 (RM23.26) sehari.

Minggu lalu, Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, harga makanan di seluruh dunia telah meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh hampir 30 tahun.

“Tanpa tindakan radikal serta-merta, kita boleh menyaksikan kejatuhan paling mendalam manusia ke kancah kemiskinan tegar,” kata Pengarah Eksekutif Antarabangsa Oxfam, Gabriela Bucher dalam satu kenyataan.

Selain itu, laporan sama turut mendedahkan bahawa kekayaan golongan  jutawan meningkat mendadak apabila syarikat-syarikat besar menggunakan inflasi untuk kelebihan mereka.

Kenaikan harga tenaga dan margin telah meningkatkan keuntungan syarikat minyak, selain syarikat pertanian dijangka memperoleh keuntungan lebih tinggi apabila kos makanan melonjak.

Oxfam berkata, tindakan segera diperlukan untuk memerangi krisis ketidaksamaan yang melampau, termasuk menghapuskan semua pembayaran hutang untuk negara membangun yang memerlukan bantuan paling mendesak.

Langkah sedemikian akan membebaskan lebih AS$30 bilion (RM126 bilion) dana penting tahun ini untuk 33 negara yang berdepan dengan masalah hutang.

Organisasi itu juga mengesyorkan pengenalan cukai kekayaan sekali bayar dan kekal untuk membiayai pemulihan pandemik Covid-19 yang telah pun dilaksanakan di Argentina.

Antara cadangan lain Oxfam adalah memperkenalkan lebihan cukai keuntungan untuk memanfaatkan ‘durian runtuh’ syarikat besar, meningkatkan bantuan kemanusiaan dan membiayai bantuan terhadap Ukraine serta kos pembiayaan pelarian. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI