BARCELONA – Pengendali Barcelona, Xavi Hernandez mengakui pasukannya tidak hanya bergantung dengan pemain muda sensasi, Pedri dalam usaha merekodkan kemenangan pada aksi suku akhir kedua saingan Liga Europa menentang Eintracht Frankfurt awal pagi esok.
Sebagai rekod, skuad The Catalans hanya mampu meraih keputusan seri 1-1 pada aksi suku akhir pertama yang berlangsung di Jerman minggu lepas dan kini mengharapkan tuah Camp Nou dalam usaha mara ke pentas separuh akhir.
Kata Xavi, prestasi memukau yang dipamerkan oleh Pedri sejak kebelakangan ini dengan menjaringkan beberapa gol penting buat pasukan wajar dipuji tetapi itu bukan bermakna mereka meletakkan sandaran penuh terhadap pemain berusia 20 tahun itu.
“Kami tidak sesekali bergantung dengan Pedri, meskipun harus diakui dia sudah meningkatkan prestasinya ketika ini. Namun, bukanlah sesuatu yang wajar untuk memberikan pujian terlalu tinggi kerana rakan-rakan sepasukan lain turut memainkan peranan tersendiri,” katanya.
Sementara itu, Barcelona mendapat tonik terbaik untuk merekodkan kemenangan selepas pemain sayap sensasi, Ansu Fati disahkan cergas dan kemungkinan besar boleh diturunkan dalam kesebelasan utama pada perlawanan itu nanti.
“Saya tidak sabar untuk beraksi selepas lebih tiga bulan diketepikan ekoran kecederaan.
“Namun, segala keputusan bergantung kepada jurulatih (Xavi) sama ada dia mahu ambil risiko atau tidak tetapi apa yang boleh saya katakan, saya sudah cergas sepenuhnya.
“Selepas melakukan latihan hampir dua minggu bersama skuad utama, tiada masalah yang berbangkit dan jika saya tidak sempat diturunkan pada aksi Liga Europa. Mungkin saya akan diturunkan pada saingan La Liga minggu ini,” katanya. – AGENSI