KAJANG – Seramai 14 individu termasuk dua wanita ditahan selepas disyaki terlibat dalam sindiket perjudian dalam talian menerusi serbuan di empat buah rumah sekitar daerah ini semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, serbuan telah dijalankan di kawasan Kampung Baru Balakong, Taman Casa Green dan Landmark Residence.
“Serbuan tersebut telah berjaya menahan 12 lelaki dan dua wanita berusia dalam lingkungan 21 hingga 39 tahun.
“Kita juga telah merampas pelbagai barangan seperti komputer (8), komputer riba (2), telefon bimbit (53) dan modem internet,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, sindiket ini telah beroperasi kira-kira setahun dan boleh mencapai keuntungan sehingga RM40,000 sebulan.
“Sindiket ini juga menggunakan platform laman web: www.win4uvip.com, www.menang888.com dan www.grand288.com yang mempunyai tiga jenis permainan perjudian iaitu Slot Games, Roullete dan Table Games.
“Mereka juga menjalankan aktiviti promosi dan komunikasi urus niaga melalui aplikasi WhatsApp, WeChat dan Telegram untuk pasaran di negara ini,” jelasnya.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 4(1)(a),(c),(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. Kesemua tangkapan masih di dalam tahanan reman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE