KOTA BHARU – Dua lelaki termasuk seorang warga emas dicekup selepas mereka didapati makan dan membeli makanan pada waktu pagi dalam dua serbuan berasingan di Kampung Pulau Hilir dekat Kubang Kerian dan Jalan Pendek di sini hari ini.
Serbuan itu dijalankan oleh anggota Penguat Kuasa Majlis Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (Jaheaik) dan polis pada pukul 9 pagi tadi.
Setiausaha MPKB-BRI, Mohd. Shaifudeen Md. Salleh berkata, serbuan pertama dijalankan di sebuah rumah yang dijadikan kedai makan di Kampung Pulau Hilir sebelum menahan seorang lelaki berusia 20 tahun ketika sedang membeli nasi dan lauk-pauk.
Menurutnya, selain itu, pihaknya turut menyita semua makanan dan peralatan yang digunakan oleh seorang wanita untuk menjual makanan kepada individu tidak berpuasa.
“Wanita yang juga pemilik rumah itu dikenakan kompaun sebanyak RM500 manakala seorang pelanggan lelaki telah ditahan.
“Dalam serbuan kedua di sebuah premis di Jalan Pendek di sini, kita menahan seorang warga emas berusia 60 tahun yang sedang makan dan minum di situ pada pukul 9 pagi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Mohd. Shaifudeen memberitahu, kedua-dua lelaki itu kini ditahan di lokap Jaheaik sebelum mereka dibicarakan atas kesalahan tidak berpuasa.- KOSMO! ONLINE