fbpx

Kim Tae-ri risau tidak bertemu cinta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KIM TAE-RI

KEPANASAN aktres Kim Tae-ri menggelegak menerusi watak Na Hee-do dalam drama Twenty Five Twenty One. Tidak memerlukan sebarang kontroversi untuk menaikkan populariti, dia sebaliknya hanya ingin berseronok dan disukai penonton hasil setiap kerja lakonnya.

NAMA Kim Tae-ri mungkin masih lagi asing dalam kalangan peminat K-drama. Tidak sepopular seperti selebriti lain seperti Park Shin-hye mahupun Song Hye-kyo, namun Tae-ri sebenarnya sudah sebaris dengan nama-nama tersebut.

Pernah muncul menerusi beberapa buah naskhah hebat, drama dan filem seperti The Handmaiden, Space Sweepers serta Mr. Sunshine beberapa tahun lalu, sepertinya rezeki untuk mendakap populariti ketika itu tidak berpihak kepadanya.

Kini, namanya tidak berhenti menjadi sebutan ramai khususnya peminat drama fenomena Twenty-Five Twenty-One meskipun naskhah arahan Jung Ji-hyun tersebut sudah melabuhkan tirai minggu lalu.

Tidak keterlaluan sekiranya mengatakan bakat pelakon berusia 31 tahun itu baru saja dipandang ramai meskipun sudah hampir sedekad bergelumang dalam industri hiburan di tanah kelahirannya.

KIM TAE-RI mengakui berasa sangat lega dapat menggembirakan dan menyalurkan semangat kepada semua orang menerusi watak Hee-do dalam Twenty-Five Twenty One.

Lakonan tiada batasan

Bercerita mengenai Twenty-Five Twenty-One yang berjaya meledakkan namanya, Tae-ri tidak menyangka naskhah tersebut berjaya mendapat tempat dalam hati peminat K-drama seluruh dunia.

Akuinya, perasaan bimbang pernah bersarang dalam diri kerana berasa terlalu mentah dalam projek terbabit.

“Awalnya rasa sangat bimbang. Macam-macam persoalan muncul dalam minda pada hari pertama berada di set penggambaran bersama pelakon lain.

“Manakan tidak, kebanyakan mereka yang terlibat dalam drama ini merupakan pelakon senior yang sudah banyak pengalaman.

“Bagaimanapun saya bersyukur kerana mereka sangat memberi kerjasama dan keserasian antara kami dapat diperoleh dengan mudah,” katanya.

Seiring dengan populariti diraih drama tersebut, Tae-ri memberi gambaran tepat bahawa ramai dahagakan jalan cerita yang ringan dan ‘hidup’ dalam fikiran mereka.

“Bagi saya, drama ini menjadi kegemaran ramai kerana jalan ceritanya yang santai tanpa memerlukan penonton berfikir sehingga pecah kepala.

“Terima kasih juga kepada semua yang menjadikan watak Hee-do sebagai karakter kegemaran. Harap semangat Hee-do akan kekal tersemat dalam jiwa anda,” tuturnya.

Berbeza daripada perwatakannya, Tae-ri memberitahu, Hee-do banyak mengajarnya tentang kehidupan, terutama ketika hendak mendepani waktu yang sukar.

“Watak tersebut memberi inspirasi kepada saya, malah kami sebenarnya ada banyak persamaan. Saya juga gembira kerana dapat membahagiakan ramai orang menerusi watak Hee-do.

JAUH di sudut hati, Tae-ri turut berasa bimbang sekiranya tidak dipertemukan dengan mana-mana lelaki yang akan dicintai seumur hidup.

“Penulis skrip memberitahu dia banyak mendapat inspirasi daripada wawancara dan video temu bual saya sebelum ini untuk menghidupkan watak Hee-do.

“Jadi, tidak mengejutkan sekiranya saya dan Hee-do dilihat sangat serasi bersama,” ujarnya.

Bercerita tentang perjalanan kariernya, Tae-ri teruja kerana sering ditawarkan watak yang sering mencabar kemampuan dirinya.

Ujarnya, setiap karakter bagi drama dan filem lakonan memerlukan cara yang berbeza untuk disampaikan.

Sebagai contoh, watak Hee-do pula memerlukannya belajar tentang teknik lawan pedang, manakala bagi karakter Go Ae-shin dalam Mr. Sunshine pula memaksanya belajar mengenai sejarah peperangan.

“Tiada watak yang tidak sukar untuk dipersembahkan, namun saya seorang yang sukakan cabaran dan berusaha keras untuk memberi terbaik.

“Saya juga sangat dahagakan kepuasan dalam setiap kerja. Lebih sukar sesebuah watak, lebih banyak tenaga yang saya berikan.

“Bagi saya, lakonan ini tiada batas dan okey jika lakukan semuanya melebihi kemampuan diri.

“Untuk mendapat hasil cemerlang, skrip, watak dan pengarah yang bagus memainkan peranan dalam setiap projek,” katanya lagi.

Ketika ramai yang cair hati menyaksikan lakonan romantisnya bersama Joo-hyuk, Tae-ri mendedahkan dia tidak pernah mempunyai cinta pertama walaupun umur sudah mencecah 31 tahun.

PELAKON Kim Tae-ri mendedahkan tidak pernah mempunyai cinta pertama walaupun umur sudah mencecah 31 tahun.

Lelaki untuk dicintai

“Sebenarnya saya tidak pernah merasai cinta pertama sehingga hari ini.

“Jujurnya, saya bukan seorang wanita romantik seperti yang dipaparkan dalam drama dan filem.

“Jarang juga untuk melihat saya melakonkan babak romantik,” katanya.

Jauh dalam lubuk hatinya, dia juga melahirkan kebimbangan sekiranya tidak bertemu dengan lelaki yang dicintai seumur hidupnya.

“Saya tak pernah menyukai seseorang. Khuatir juga sekiranya saya ditakdirkan untuk tidak bertemu dengan mana-mana lelaki sehingga ke akhir hayat.

“Jika saya bertemu dengan seseorang yang dicintai satu hari nanti, saya ingin mengatakan kepadanya, ‘saya mahu awak menjadi milik saya’,” tuturnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI