ALOR SETAR – Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan seramai 209 pengendali makanan di bazar Ramadan di negeri ini tidak mempunyai suntikan anti-tifoid dan 269 orang tidak menghadiri latihan pengendalian makanan.
Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Dr. Othman Warijo memberitahu, jumlah itu diperoleh hasil pemeriksaan yang dilakukan ke atas 1,325 premis bazar Ramadan dan 2,132 pengendali makanan.
“Bagi kesalahan-kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 yang ditemui, sejumlah 19 notis 32B di bawah Peraturan berkenaan telah dikeluarkan oleh pihak KKM,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, pihaknya memandang serius isu keracunan makanan yang berlaku di premis-premis makanan.
“Walau bagaimanapun, tiada sebarang kes keracunan makanan yang dilaporkan berpunca dari premis bazar Ramadan di negeri ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE