fbpx

ASP polis mengaku tidak bersalah lepas 11 suspek Macau Scam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad Azrim (kiri) dan Muniandy mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di George Town hari ini. Foto IQBAL HAMDAN

GEORGE TOWN – Seorang pegawai kanan polis berpangkat Asisten Superintendan (ASP) dan seorang lelaki warga emas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melepaskan 11 suspek Macau Scam warga China tahun lalu.

Tertuduh, ASP Mohamad Azrim Abu Bakar, 41, dan S. Muniandy, 62, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Majistret Nur Melati Diana Abd. Wahab.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Azrim didakwa mengingkari arahan undang-undang untuk menyerahkan 11 warga asing kepada Jabatan Imigresen dengan niat semua mereka dapat diselamatkan daripada tindakan pengusiran.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di sini antara pukul 2 hingga 3 petang pada 9 Februari tahun lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 217 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Dalam pada itu, mengikut pertuduhan, Muniandy didakwa bersubahat membantu Mohamad Azrim melepaskan semua 11 warga asing itu di lokasi, waktu dan tarikh yang sama.

Muniandy didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nazri Abdul Rahim, manakala Mohamad Azrim diwakili peguam M. M. Athimulan, T. Tamil Selvam dan K. Mahendran serta Muniandy diwakili peguam Hari Prassaad Rao.

Majistret membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM5,000 setiap seorang dengan seorang penjamin. Kes itu akan disebut semula pada 18 Mei depan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI