fbpx

Bekas askar terlibat dalam 50 pertempuran di hutan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RAMLY menunjukkan pingat yang diterimanya selepas lapan tahun berkhidmat sebagai askar Melayu.

Oleh ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI

JELEBU – “Setiap kali bertempur, saya akan pertaruhkan nyawa demi negara.”

Itu luahan bekas anggota askar, Ramly Mohd. Sharif, 89 ketika mengenang tugasnya mempertahankan negara daripada ancaman komunis sejak tahun 1949.

Menurut Ramly, dia mema­suki perkhidmatan askar Me­layu pada November 1949 dan berkhid­mat selama lapan tahun.

Bagaimanapun, sepanjang tempoh singkat tersebut, beliau mendedahkan telah terlibat dalam kira-kira 50 pertempuran menentang penjajah komunis.

“Saya bersyukur sepanjang bertugas selama lapan tahun, saya tidak mengalami sebarang kecederaan. Saya anggap ia sebagai satu keajaiban, namun sedih kerana teringat rakan-rakan yang terkorban dalam pertempuran.

“Saya antara askar Melayu termuda ketika itu kerana memasuki tentera pada usia 16 tahun. Sepanjang lapan tahun itu saya banyak menghabiskan masa di dalam hutan memburu komunis,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Titi, di sini baru-baru ini.

 

GAMBAR lama Ramly (kanan) semasa berkhidmat sebagai askar Melayu bermula pada tahun 1949.

 

Mengimbau kembali, Ramly berkata, selepas memohon menjadi anggota tentera, dia telah menjalani latihan selama lapan bulan di Port Dickson dan kemudian diserap ke Batalion Ketiga Askar Melayu.

“Saya kemudian menjalani latihan di Kem Si Rusa, Port Dickson selama lapan bulan. Pada waktu itu ada yang mengatakan saya masih tidak cukup umur, namun ada pegawai yang memi­lih saya kerana dia melihat saya bersemangat dan matang.

“Selepas enam bulan, saya dihantar ke Kem Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan dan berulang alik menjalani operasi di dalam hutan selama beberapa bulan. Pada 1951 saya juga telah dihantar bersama platun bagi satu operasi di Endau, Mersing, Johor,” katanya.

Tambahnya, selepas lapan tahun berkhidmat sebagai tentera, dia mengambil keputusan untuk berhenti selepas tawaran diberikan oleh kerajaan.

“Tawaran diberi kerajaan kepada askar sama ada mahu terus berkhidmat atau berhenti berikutan keadaan pada waktu itu agak aman, jadi saya ambil pilihan berhenti.

“Susulan perkhidmatan diberikan, saya dianugerahkan pi­ngat oleh kerajaan British dalam satu majlis di Ipoh pada 1956. Berbekalkan wang tamat perkhid­matan berjumlah RM750, saya pulang ke Kuala Klawang dan melakukan pelbagai pekerjaan bagi menyara kehidupan,” katanya.

Dalam pada itu, Ramly turut berkongsi pengalaman dan mengakui kehidupan penduduk ketika zaman komunis memang sukar.

“Nak makan pun sangat susah kerana komunis bermaharajalela dan rakyat pula terpaksa hidup dalam ketakutan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI