PETALING JAYA – Tugas seorang anggota bomba dan penyelamat bukan hanya memadam api dan menyelamatkan nyawa manusia malah mereka turut membantu haiwan termasuk seekor kucing.
Dalam kejadian di sebuah rumah di Seksyen 8, Bandar Baru Bangi pagi tadi, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Bandar Baru Bangi menyelamatkan seekor anak kucing yang terperangkap selama tiga hari di siling bumbung.
Ketua Operasi pasukan C (Chali), Pegawai Bomba Kanan II, Siti Norhuda Jaafar berkata, lapan anggota dan dua buah jentera bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.14 pagi.
“Anggota menerima panggilan kecemasan daripada penduduk setempat yang memaklumkan kucing itu sudah tiga hari terperangkap di siling bumbung rumah dua tingkat tersebut.
“Anggota bomba tiba di lokasi pada pukul 8.21 pagi dan berjaya menurunkan anak kucing itu dalam keadaan selamat dan operasi selesai pada pukul 8.41 pagi tadi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Katanya, anggota bertugas terpaksa membuka lubang lampu pada siling rumah dan memasuki laluan tersebut untuk membawa keluar anak kucing berkenaan disebabkan struktur siling yang kukuh dan sukar dibuka.
Tambah Siti Norhuda, penduduk setempat memaklumkan cuba menyelamatkan kucing tersebut sejak beberapa hari lalu tetapi gagal kerana kekurangan peralatan lengkap.
Jelasnya lagi, pihaknya belum dapat memastikan sama ada anak kucing tersebut masih mempunyai ibunya atau tidak dan kini diserahkan kepada penduduk setempat untuk tindakan susulan.
Sehubungan itu, dapat dilihat peranan pasukan bomba dan penyelamat ini sangat terbuka dengan apa sahaja bentuk bantuan yang diperlukan masyarakat. – KOSMO! ONLINE