KETUA jurulatih skuad Penang FC, Thomas Trucha tidak bersetuju dengan dakwaan pasukannya mempamerkan taktikal hambar selepas masih gagal merekodkan kemenangan pada empat perlawanan Liga Super setakat ini.
Kata Trucha, taktikal yang diterapkan bukanlah satu isu atau masalah yang melanda kemelut prestasi pasukan sebaliknya ketumpulan jentera serangan boleh dikatakan antara faktor utama kegagalan untuk mencatat kemenangan pertama musim ini.
“Saya rasa tiada masalah dengan taktikal yang saya cuba terapkan dalam pasukan. Namun, jika ada yang boleh dipersoal mungkin dari sudut teknikal pemain yang mana ada dalam kalangan mereka masih belum di tahap 100 peratus.
“Ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana pasukan dilanda Covid-19 sebelum ini dan ada pemain utama kami yang masih mengalami kecederaan.
“Selain itu, ketumpulan jentera serangan juga boleh dikatakan antara punca kerana kita terlalu mengharapkan kepada penyerang utama, Casagrande tetapi dia gagal menyudahkan rentetan peluang terhidang,” katanya.
Mengulas lanjut, pengendali import dari Republik Czech itu mengakui pasukannya boleh berada di kedudukan yang lebih baik andai keputusan seri yang dicatat boleh ditukar kepada kemenangan.
“Sudah tentu saya tidak gembira dengan keputusan yang kami raih musim ini kerana tiga perlawanan dengan meraih keputusan seri adalah sesuatu yang merugikan dan kita sepatutnya boleh mengutip mata penuh pada satu aksi tersebut.
“Namun, inilah lumrah bola sepak dan saya harap pasukan dapat tampil lebih serius kerana kita akan berdepan pasukan yang lebih berkualiti, Kedah Darul Aman (KDA FC) pada minggu ini,” katanya.