MANCHESTER – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola kekal percaya dengan falsafah bola sepak yang diterapkan dalam usaha memastikan pasukan dapat melakar kemenangan menjelang aksi suku akhir kedua Liga Juara-Juara menentang Atletico Madrid di Wanda Metropolitino awal pagi esok.
Sebagai rekod, skuad The Citizens telah mempamerkan aksi dalam kelas tersendiri pada aksi pertama di Etihad minggu lalu dengan meraih gol tunggal perlawanan menerusi Kevin De Bruyne sekali gus memiliki kelebihan 1-0.
Kata Guardiola, pasukannya tidak akan sesekali bermain secara bertahan dalam usaha mengekalkan kelebihan tipis yang dimiliki kerana percaya hanya dengan melakukan serangan dapat menjamin kemaraan pasukan ke pentas separuh akhir nanti.
“Saya tidak mahu jika ada yang berani mempersoalkan taktikal yang cuba saya terapkan nanti kerana falsafah bola sepak saya mudah, bermain dengan penguasaan bola dan melakukan serangan sebanyak mungkin.
“Saya percaya pemain saya tidak perlu bertahan dengan cara ‘parkir bas’ untuk mara ke peringkat separuh akhir meskipun kami hanya memiliki kelebihan tipis. Jika kita layak, bermakna taktikal kami lebih bagus dan begitu juga sebaliknya.
“Justeru, tiada guna mengambil risiko mengubah corak formasi serta strategi yang telah kita terapkan selama ini dan saya harap pemain bersedia seratus peratus untuk memanfaatkan setiap peluang terhidang yang dimiliki nanti,” katanya.
Guardiola yang telah membimbing City sejak 2016 kini dalam usaha menjuarai trofi Liga Juara-Juara pertama bersama pasukan itu selepas hanya bergelar naib juara pada edisi tahun lalu apabila tewas kepada Chelsea 1-0. – AGENSI