PELUMBA Team Sapura Cycling (TSC), Akmal Hakim Zakaria tidak tertekan meskipun diletakkan sebagai sandaran utama pasukan benua negara itu untuk menjuarai Kejohanan Berbasikal Kebangsaaan 2020 di Melaka bermula esok hingga Ahad ini.
Sebagai rekod, Akmal yang berusia 23 tahun menjadi pilihan utama buat pasukan TSC bersama dengan Muhsin Al Redha Misbah untuk saingan kategori Elit pada kejohanan kali ini.
Kata Akmal, harapan tinggi pasukan kepadanya tidak membuatkannya tertekan kerana ia turut menjadi misi peribadi selepas meraih kedudukan naib juara pada Kejohanan Berbasikal Kebangsaan edisi lepas.
“Tahun lepas saya dapat naib juara dan misi peribadi pada tahun ini adalah meraih gelaran juara. Saya jangkakan perlumbaan sukar memandangkan ini adalah kejohanan kompetitif pertama selepas pandemik Covid-19.
“Namun, saya percaya ia bukan misi mustahil selepas pasukan melakukan persiapan rapi sejak Jun lepas,” katanya ketika ditemui pemberita baru-baru ini.
Mengulas lanjut, pelumba kelahiran Selangor itu mengakui sudah bersedia dari segi mental dan fizikal kerana cabaran sengit bakal hadir menerusi barisan pelumba pasukan Terengganu Inc TSG Cycling Team (TSG).
“Kita jangka barisan pelumba TSG akan memberikan kesukaran buat pasukan pada saingan kali ini. Namun, saya yakin pasukan sudah mempunyai strategi untuk melakar kemenangan.
“Selain itu, cabaran besar juga adalah cuaca panas di Melaka selain laluan berbukit yang mungkin boleh membuat mental dan fizikal koyak pada perlumbaan itu jika tidak bersedia,” katanya.
Kejohanan Berbasikal Kebangsaan Malaysia berlangsung selama tiga hari bermula esok hingga 20 September di Melaka, melibatkan acara lebuh raya, ujian masa individu dan ujian masa berpasukan.