LANGKAWI – Seorang ibu kepada dua orang anak resah apabila kehidupan mereka menjadi sukar setelah suaminya tidak lagi berupaya melakukan kerja berat sejak dijangkiti Covid-19 pada Januari lalu.
Menurut Maseetoh Changwang, 34, suaminya, Mohamad Rusydi Rashid, 33, kini dalam keadaan lemah kerana mengalami masalah paru-paru dipercayai akibat Long Covid atau sindrom Post Covid.
“Suami tidak mampu lagi menyara keluarga dengan melakukan kerja-kerja kampung seperti memotong rumput dan mencari ketam nipah kerana cepat penat walaupun sekadar berjalan ke bilik air.
“Disebabkan itu, kami jadi hilang punca pencarian kerana selama ini suami yang bekerja dan saya hanya menolong setakat mampu kerana sedang mengandung tujuh bulan anak ketiga kami,” katanya baru-baru ini.
Tambahnya, dia bekerja sebagai pembantu di koperasi Sekolah Kebangsaan (SK) Kelibang dengan upah RM18 sehari selain menjual air minuman pada Ramadan ini dengan pendapatan tidak menentu.
“Jika hujan lebat, tiada hasil pada hari itu. Kasihan anak sulung saya yang masih kecil terpaksa membantu mengangkat barang niaga yang berat dalam hujan,” ujarnya.
Selain itu, katanya, dia sekeluarga tinggal bersama ibu Mohamad Rusydi, Norhiyati Shariff, 58, yang kini sedang menunggu tarikh bagi melakukan pembedahan jantung kerana salur jantung tersumbat
“Sekarang ini kami banyak bergantung kepada wang yang diterima daripada JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) dan zakat yang berjumlah RM500 sebulan,” jelasnya.
Maseetoh juga memberitahu, akibat masalah kewangan, dia masih belum membayar yuran Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) anak keduanya, Muhammad Zarif Rizki, 8, yang berjumlah RM150.
“Anak sulung saya, Muhammad Zaki Rizwan, 12, seorang pengawas hanya mampu menyarung uniform yang diberikan orang ramai,” ujarnya sebak.
Tambahnya, perkara yang membimbangkannya pada ketika ini adalah tiada siapa yang akan menjaga suami dan ibu mentuanya itu kerana akan melahirkan anak tidak lama lagi.
“Anak sulung saya juga ada masalah buah pinggang yang perlu dipantau dengan kerap,” katanya.
Orang ramai yang ingin menyumbang kepada keluarga ini boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Simpanan Nasional milik Mohamad Rusydi, 0200341100008080.