fbpx

Beruang merayau di Sungai Besar berjaya dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BERUANG matahari yang berjaya ditangkap Perhilitan dalam satu operasi di sebuah ladang di Sungai Panjang, Selangor baru-baru ini.

PUTRAJAYA – Selepas hampir sebulan mencetuskan kebimbangan para penduduk di Sungai Besar, Selangor, seekor beruang matahari akhirnya berjaya ditangkap di sebuah ladang.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya hari ini.

“Mamalia itu telah ditangkap dalam satu operasi khas di Ladang Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor di Sungai Panjang, Sungai Besar baru-baru ini,” katanya.

Media pada 18 Mac lepas melaporkan ketakutan penduduk kampung Parit 13, Sungai Panjang, Sungai Besar di Sabak Bernam yang gempar dengan kehadiran beruang itu berkeliaran di sekitar kawasan sawah padi pada sebelah pagi sebelum memasuki sebuah kebun berdekatan.

Ini merupakan kes kedua selepas pertengahan Julai tahun lalu apabila seekor beruang jenis yang sama dijumpai penduduk sedang merayau di tepi jalan di sekitar Sungai Panjang.

Mengulas lanjut, Perhilitan berkata, operasi tangkapan dijalankan setelah menerima maklumat awal daripada pihak pengurusan ladang berhubung kehadiran beruang di kawasan terbabit.

Binatang berkenaan dikesan tersesat di lokasi tersebut sejak 24 Mac lalu sebelum agensi itu melancarkan operasi khas yang akhirnya berjaya menangkap mamalia ini pada 8 April lepas.

“Beruang ini disahkan berada dalam keadaan sihat dan sudah dipindahkan buat sementara ke Pusat Konservasi Hidupan Liar Sungai Dusun, Hulu Selangor,” kata kenyataan Perhilitan. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI