TAIPING – Seorang pemandu lori maut apabila muatan konkrit yang dibawa menimpanya setelah terbabit dalam kemalangan di Kilometer (KM) 220.4 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara dekat sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian yang berlaku pada pukul 4.50 pagi itu, mangsa, Nor Azlan Ramli, 33, dari Kampung Bukit Kecik, Simpor, Sungai Petani, Kedah itu mengalami kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, mangsa dalam perjalanan dari Ipoh ke Pulau Pinang.
“Sampai di tempat kejadian, kenderaan dipandunya hilang kawalan lalu terbabas ke sebelah kiri menyebabkan muatan batu konkrit yang dibawa menimpanya.
“Pemeriksaan pegawai perubatan yang tiba tidak lama kemudian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan 1987 manakala lori berkenaan telah ditahan bagi pemeriksaan Puspakom. – KOSMO! ONLINE