JELEBU – Seorang lagi banduan yang melarikan diri dari Penjara Jelebu, di sini, kelmarin berjaya ditangkap di Sungai Muntoh, Titi oleh pihak Penjara Jelebu, pukul 4 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintenden Maslan Udin berkata, banduan bernama Shazuan Md Sharif, 32, itu telah dibawa ke Mahkamah Bahau untuk permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah pagi ini.
Menurutnya, banduan tersebut direman selama empat hari iaitu sehingga 16 April ini.
“Dengan tangkapan ini telah menjadikan
jumlah seramai tiga orang telah berjaya ditangkap. Usaha giat pihak polis bersama pihak penjara masih diteruskan bagi mengesan baki empat banduan yang masih bebas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Maslan menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan sebarang berita yang tidak tepat yang boleh mengganggu gugat ketenteraman awam dan siasatan pihak polis.
“Pihak polis menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh disalurkan ke balai polis yang berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis (IPD) Jelebu di talian 06-6136222, Bikik Gerakan Jelebu (06-6137999), atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Zuria Anis binti Mahassan (016-6096996).
Empat lagi yang masih bebas dikenali sebagai Muhammad Syafiq Rohmat, 32; Mazlan Samah, 39; Mohamad Aminuddin Khan Mohd. Yusof, 28; dan seorang warganegara Indonesia dikenali sebagai, Zainuddin, 62.
Untuk rekod, tangkapan pertama melibatkan banduan bernama Sohaimi Khalid, 50, berjaya ditangkap semula di kawasan kebun sawit, Kongkoi di sini dalam jarak dua kilometer dari Penjara Jelebu pada pukul 7 petang kelmarin iaitu hari yang sama melarikan diri.
Tangkapan kedua pula melibatkan banduan bernama Mohd. Zairizan Zainal, 42, ketika cuba melarikan kenderaan penduduk selepas masuk ke rumah penduduk di Kampung Petasih Tengah, Pertang pada pukul 5.15 pagi semalam. -KOSMO! ONLINE.