Oleh Azizan Hashim
PASUKAN Perak tidak akan memandang rendah kemampuan skuad Polis Diraja Malaysia (PDRM) apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam saingan Liga Super di Stadium Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras Ahad ini.
Ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic percaya barisan pemain perlu serius dengan mempamerkan aksi 100 peratus di atas padang walaupun The Cops kini menduduki tangga tercorot Liga Super selepas mengharungi tujuh perlawanan.
“Pasukan membuat kesilapan besar jika mengambil mudah aksi menentang PDRM nanti. Mereka mungkin berada di tangga tercorot tetapi mereka mempunyai semangat juang kental,” kata Durakovic kepada Kosmo! semalam.
Mengulas lanjut, Durakovic mahu barisan pemain The Bos Gaurus memberi sepenuh tumpuan terhadap perlawanan selama 90 minit seperti yang mereka lakukan ketika menang ke atas UiTM FC minggu lalu.
“Barisan pemain perlu fokus seawal minit pertama sehingga wisel penamat ditiupkan kerana apa sahaja boleh berlaku dalam bola sepak. Gol awal mungkin diperlukan untuk mengelakkan pasukan tertekan di hujung saingan,” katanya.
Mengenai barisan pemain yang akan diturunkan, pengendali import dari Australia itu mengakui masih belum membuat perancangan memandangkan ada beberapa pemain yang mengalami kecederaan dan digantung perlawanan.
“Pemain muda kami, Muhammad Firdaus Saiyadi tidak dapat beraksi kerana penggantungan satu perlawanan. Sementara itu, Careca pula masih mengalami kecederaan paha dan saya perlu meneliti tahap kecergasan pasukan sehingga hari perlawanan sebelum membuat keputusan,” katanya.