MERSING – Sebanyak tujuh aset dari pelbagai agensi digerakkan Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas) Indonesia dalam usaha mengesan mayat penyelam remaja yang hilang dibawa arus di Pulau Tokong Sanggol di sini Rabu lalu.
Usaha mencari mayat Nathan Renze Chester, 14, yang memasuki hari kelima itu meliputi sektor pencarian di utara Pulau Bintan.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Khairul Nizam Misran mengesahkan perkara itu ketika dihubungi hari ini.
“Maklumat terkini diterima dari pihak Indonesia dimana usaha mencari mayat Nathan Renze yang hilang ketika melakukan latihan selaman di Pulau Tokong Sanggol, Mersing, Johor oleh pihak berkuasa Indonesia Basarnas melibatkan tujuh aset dari pelbagai agensi.
“Pencarian hari kedua oleh pihak Indonesia meliputi sektor pencarian di utara Pulau Bintan,”katanya.
Terdahulu, operasi carilamat remaja itu ditamatkan pada pukul 1.30 tengah hari Sabtu lalu susulan penemuan dua penyelam iaitu bapanya, Andrian Peter Chester, 46, dan Alexia Alexandra Mollina, 18, di perairan Indonesia.
Penyelam remaja warga Belanda itu disahkan meninggal dunia oleh bapanya yang diselamatkan nelayan Indonesia.
Menurut bapanya, Nathan meninggal dunia akibat terlalu lemah dan tidak dapat bertahan.
Sehubungan itu, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru telah memaklumkan kepada pihak berkuasa Indonesia bagi membantu mencari Nathan yang dipercayai hanyut ke perairan negara itu. – KOSMO! ONLINE.