fbpx

Nestle, UPM anjur program pemakanan masyarakat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Adnan (lima dari kanan) dan Arifin (enam dari kanan) bergambar bersama para penyelidik UPM yang turut serta dalam Program PUTRACNAP yang dilancarkan hari ini.

SERDANG – Nestle Malaysia dan Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini menandatangani memorandum perjanjian bagi melaksanakan Program Duta PUTRA Pemakanan Komuniti (PUTRACNAP) bagi menggalakkan amalan gaya hidup sihat.

Program yang dijalankan selama setahun itu menyasarkan untuk memperkasa 100 orang ibu pelajar sekolah rendah dalam kalangan penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) terpilih di Lembah Klang untuk menjadi Duta Pemakanan.

Peserta akan mengikuti bengkel Train-the-Trainer yang membekalkan mereka dengan ilmu dan kemahiran berkaitan pemakanan sihat, aktiviti fizikal dan pertanian bandar untuk memperkasa masyarakat sekeliling terhadap kehidupan lebih lestari.

Pengarah Eksekutif Hal Ehwal Korporat Kumpulan Nestle Malaysia, Datuk Adnan Pawanteh berkata, pihaknya percaya makanan memainkan peranan penting dalam membentuk komuniti yang lebih bahagia dan sihat.

“Berbekalkan kesedaran bahawa rakyat Malaysia menghadapi masalah tumbesaran terbantut dan obesiti akibat malnutrisi selain kekurangan mikronutrien dalam kalangan kanak-kanak serta dewasa, kami berhasrat menangani isu ini menerusi kerjasama UPM.

“Hidangan sihat dan kaya dengan nutrien tidak semestinya berharga lebih mahal, para ibu mampu memainkan peranan membekalkan nutrisi mencukupi kepada keluarga sekiranya dibekalkan ilmu serta kemahiran untuk memilih makanan yang tepat dan bersesuaian,” katanya pada majlis yang diadakan di sini.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPM, Prof. Dr. Arifin Abdu berkata, projek rintis itu bakal melibatkan empat PPR yang telah pun memiliki kebun komuniti untuk sekurang-kurangnya dalam tempoh dua tahun.

“Para penyelidik kami akan mengumpulkan data diperlukan dan sasaran kami ialah supaya projek ini dapat diperluaskan ke PPR lain di seluruh negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI