MELAKA – Penduduk di Kampung Bukit Piatu, di sini meneruskan tradisi sejak 75 tahun lalu iaitu menggunakan paluan gendang, kompang dan alunan serunai untuk mengejutkan warganya bangun bersahur.
Paluan alat muzik tradisional yang dimainkan kumpulan ‘ketuk-ketuk sahur’ itu dapat didengari seawal pukul 4 pagi dan berterusan sepanjang perarakan ke setiap lorong rumah di perkampungan itu.
Antara irama yang dialunkan termasuklah lagu malar segar Madu Tiga dan Ali Baba nyanyian Seniman Negara, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.
Seorang warga emas, Normah Senin, 67, berkata, kaedah yang merupakan tradisi sejak 75 tahun lalu itu sesuatu yang dinanti-nantikan setiap kali Ramadan.
“Selain kita tidak terlepas untuk bangun bersahur, kumpulan ketuk-ketuk sahur ini membawa makna kemeriahan sambutan Ramadan pada setiap tahun.
“Saya membesar di kampung ini dan ini kaedah digunakan orang dahulu untuk kejut orang bersahur, namun hari ini sudah susah mahu jumpa,” katanya ketika ditemui di sini kelmarin.
Sementara itu, Norlila Kassim, 46, berkata, perarakan itu membantu anak-anak yang masih kecil untuk bangun bersahur dengan lebih mudah.
“Anak-anak akan keluar apabila kumpulan ini tiba di depan rumah. Mereka teruja melihat ‘persembahan tradisional’ ini,” katanya.
Salah seorang pemain gendang kumpulan ketuk-ketuk sahur, Nor Tamiz Jaafar, 25, berkata, acara tersebut sentiasa dialu-alukan oleh penduduk kampung.
“Meskipun bunyi paluan gendang dan alatan muzik ini kuat, tetapi tidak pernah kami dimarahi penduduk kampung kerana menganggu mereka tidur, sebaliknya semua menyambut baik kehadiran kami,” katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) kampung itu, Ramli Awang berkata, kumpulan itu disertai kira-kira 30 penduduk daripada pelbagai peringkat usia.