CORRIENTES, ARGENTINA – Seorang kanak-kanak di Argentina didakwa diculik oleh makhluk halus jembalang yang kemudian menghanyutkannya di sebuah lagun sebelum diselamatkan oleh anjing peliharaan mangsa, lapor akhbar Daily Star semalam.
Dalam kejadian pada 6 April lalu, kanak-kanak dikenali sebagai Sebastian itu dikatakan diculik oleh makhluk yang terkenal dalam cerita dongeng tempatan dan digelar Pombero.
Ia dikatakan bersaiz pendek, berbulu dan kuat. Makhluk itu juga jarang ditemui kerana boleh menjadi halimunan.
Menurut ibu Sebastian, Mariela Escalante, dia dan jiran-jirannya yang mencari kanak-kanak itu yakin bahawa Pembero telah melarikan anaknya.
“Ini bukan kali pertama kanak-kanak lelaki hilang dan ditemui jauh dari rumah,” katanya.
Menurut laporan media tempatan, Sebastian diselamatkan oleh anjing peliharaannya, yang menyalak untuk menarik perhatian penduduk berdekatan.
Haiwan itu dikatakan menarik jubah kostum adiwira Captain America milik kanak-kanak itu yang dipakainya ketika kejadian.
Seorang wanita kemudiannya menyedari bunyi salakan anjing itu, lantas berjaya mengenal pasti lokasi Sebastian sebelum menyelamatkannya daripada lemas.
Laporan bagaimanapun tidak menyatakan sama ada laporan polis telah dibuat berhubung kejadian itu. – AGENSI