fbpx

Banduan kedua berjaya ditangkap polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Maslan ketika menunjukkan baki banduan yang masih diburu polis sempena Sidang Media di IPD Jelebu, di sini, hari ini. - IHSAN POLIS

JELEBU – Seorang lagi banduan yang melarikan diri dari Penjara Jelebu, di sini, semalam berjaya ditangkap polis ketika memecah masuk rumah penduduk bagi mencuri kunci kenderaan di Kampung Petasih Tengah, Pertang pada pukul 5.15 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintenden Maslan Udin berkata, tangkapan kedua itu melibatkan banduan bernama Mohd. Zairizan Zainal, 42, menjadikan keseluruhan banduan yang berjaya ditangkap seramai dua orang.

Menurutnya, lelaki yang ditangkap itu merupakan banduan tahanan reman yang masih dalam proses perbicaraan bagi kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Tangkapan kedua ini, dia telah masuk ke rumah orang kampung dan mengambil kunci kereta dan cuba keluar dengan kenderaan tersebut namun berjaya dihalang. Polis dengan bantuan orang kampung berjaya menangkap lelaki tersebut,” katanya sempena Sidang Media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jelebu, di sini, hari ini.

Maslan berkata, hasil siasatan awal pihak polis mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 6 pagi di Blok Muhasabah 2, Penjara Jelebu yang mana kesemua banduan reman tersebut ditempatkan.

Menurutnya, mereka dipercayai melarikan diri melalui lubang siling dan keluar ke ruang penyelenggaraan dan terus ke pagar belakang blok tersebut yang disyaki telah dipotong.

“Pihak polis mengesyaki mereka menggunakan alat pemotong besi untuk meloloskan diri daripada pintu belakang menuju kawasan semak di penjara tersebut,” katanya.

Jelas Maslan, pihak polis kini terus menjalankan operasi mengesan dan menangkap baki banduan yang masih bebas dengan tumpuan pencarian di kawasan Pertang.

“Lima lagi yang masih bebas dikenali sebagai Muhammad Syafiq Rohmat, 32; Shazuan Md Sharif, 32; Mazlan Samah, 39; Mohamad Aminuddin Khan Mohd. Yusof, 28; dan seorang warganegara Indonesia dikenali sebagai, Zainuddin, 62.

“Pihak polis juga mendirikan empat sekatan jalan raya di kawasan pentadbiran IPD Jelebu dan tiga sekatan jalan raya di sempadan daerah Jelebu iaitu Nilai, Kuala Pilah dan Jempol.

“Operasi mengesan dan menangkap banduan terbabit juga mendapat bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) dari Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan dan Penjara Jelebu.

Tambah beliau, tangkapan pertama dibenarkan tahanan reman oleh Mahkamah Majistret Bahau, Jempol selama empat hari bermula hari ini manakala permohonan reman untuk tangkapan kedua akan dijalankan esok di mahkamah yang sama.

Untuk rekod, tangkapan pertama melibatkan banduan bernama Sohaimi Khalid, 50, berjaya ditangkap semula di kawasan kebun sawit, Kongkoi di sini dalam jarak dua kilometer dari Penjara Jelebu pada pukul 7 petang semalam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI