REMBAU – Penduduk Kampung Kundur Hulu di sini sekali lagi dikejutkan dengan pencemaran Sungai Kundur apabila warna air sungai itu kembali bertukar kehitaman.
Sebelum ini, Sungai Kundur pernah dilaporkan tercemar sebanyak dua kali iaitu pada Disember 2020 dan Julai tahun lalu dipercayai disebabkan aktiviti kilang yang terletak di sungai tersebut.
Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Ismail, 60-an berkata, selepas masalah pencemaran itu dilaporkan Kosmo! pada tahun lalu, keadaan air Sungai Kundur menjadi bersih.
Katanya, penduduk juga boleh kembali melakukan aktiviti menangkap ikan atau mandi-manda di sungai berkenaan.
“Bagaimanapun, keadaan ini rupanya tidak bertahan lama apabila air sungai itu kembali menjadi hitam, seolah-olah tiada pemantauan berterusan dibuat ke atas aktiviti kilang.
“Kebiasaannya, aktiviti melepaskan sisa sehingga menyebabkan warna air sungai berubah menjadi hitam dipercayai dilakukan pada waktu malam,” katanya ketika ditemui kelmarin.
Ismail memberitahu, penduduk amat berharap agar pihak berkuasa memandang serius masalah pencemaran di sungai sepanjang kira-kira dua kilometer itu.
“Kami bimbang jika pencemaran itu akan menjadi bertambah serius sehingga air berbau busuk,” ujarnya.
Pada 20 Julai tahun lalu, Kosmo! melaporkan penduduk di Kampung Kundur Hulu di sini dikejutkan dengan warna air Sungai Kundur yang bertukar kehitaman.
Susulan laporan itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah menggantung lesen premis dan menahan operasi kelengkapan sebuah kilang yang dipercayai menyebabkan pencemaran di sungai berkenaan.
Menteri Alam Sekitar, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pula dilaporkan berkata, susulan aduan yang dikemukakan kepada JAS, siasatan mendapati premis berkenaan sedang menjalankan aktiviti pembaikan aerator.