TIDAK semua daripada kita bernasib baik untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri dengan perasaan yang cukup sempurna. Ada yang berharta dan mewah, tetapi jiwa kosong kerana kehilangan insan tersayang.
Ada pula yang lengkap ahli keluarga, namun terbatas kerana tidak mempunyai kemampuan terutama dari segi wang ringgit.
Tidak ketinggalan mereka yang ada segala-galanya (keluarga dan harta), tetapi terbatas gara-gara masalah kesihatan.
Itulah hakikat kehidupan walaupun kita semua berhak untuk bergembira. Tidak kira golongan miskin tegar atau B40. Begitu juga mereka yang berada dalam kelompok M40 dan T20. Kita layak merasai kegembiraan atas dasar kemanusiaan.
Apa yang membezakan kita mungkin kepada keinginan untuk bergembira secara berlebih-lebih, atau setidak-tidaknya lebih hebat daripada orang lain.
Situasi ini tidak berlaku kepada golongan miskin tegar, tetapi lebih ‘diamalkan’ oleh isi rumah dari kumpulan B40 dan M40.
Mereka ini sebenarnya mewakili lebih 70 peratus daripada lebih 32 juta rakyat Malaysia.
Kurang tiga minggu menjelang 1 Syawal, dapat dilihat pergerakan beramai-ramai umat manusia, sama ada di bazar Aidilfitri mahupun gedung membeli-belah.
Tidak terkecuali plaza-plaza perabot yang menyediakan pelbagai rekaan dan barangan ubah suai rumah. Premis pameran dan menjual kenderaan baharu juga turut diserbu.
Semua ligat mencari sesuatu yang istimewa dan dianggap sebagai pelengkap kepada kegembiraan di Hari Raya Aidilfitri.
Bagi yang menanti pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000, situasinya lebih jauh berbeza.
Perancangan dan cita-cita juga pasti tinggi. Maklumlah, selepas dua tahun terkurung termasuk pergerakan disekat ketika Aidilfitri, inilah masa terbaik untuk ‘membalas dendam’.
Masalahnya, kita sentiasa lupa. Kita alpa bahawa kegembiraan material yang kita inginkan itu hanya bersifat sementara.
Tidak salah untuk kita berbelanja, asalkan berpada-pada. Tidak salah juga untuk bergaya, asalkan tindakan itu tidak membuatkan kita menjadi papa kedana di kemudian hari.
Mungkin ada baiknya kita melihat kepada apa yang berlaku dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.
Ketika pandamik Covid-19 berada di kemuncaknya, kita terlalu berkira soal membelanjakan wang ringgit. Semua hal kita persoalkan demi sebuah masa depan yang sempurna.
Benar, raya Aidilfitri itu hanya sekali dalam setahun, tetapi perkara paling penting untuk kita syukuri adalah kegembiraan selama 365 hari.
Seperti kata cendikiawan Islam Indonesia, Hamka, jangan sesekali kita ketawakan orang yang jatuh (susah), tetapi bersyukurlah kerana kita sendiri tidak jatuh (susah).